Hidup pada zaman ini penuh dengan cabaran yang datang daripada pelbagai sudut. Tekanan di tempat kerja, tuntutan keluarga, cabaran kewangan dan cabaran kesihatan mental semakin hari semakin ketara.
Ramai orang kelihatan tenang dari luar, tetapi hakikatnya menyimpan tekanan emosi yang berat di dalam diri.
Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh mengundang pelbagai masalah termasuk kemurungan, konflik perhubungan malah serangan panik yang boleh menggoncang keseimbangan hidup seseorang.
Saya sendiri pernah melalui satu detik yang cukup mengubah perspektif hidup.
Pada penghujung tahun 2020, tanpa diduga saya mengalami serangan panik yang datang secara tiba-tiba semasa dalam temu duga yang menyebabkan saya tidak sedarkan diri.
Simptom ini bermula dalam beberapa minggu dengan perasaan jantung berdegup kencang, nafas seakan terhenti, perasaan takut yang amat sangat menguasai fikiran dan sukar untuk tidur.
Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah masalah kesihatan jantung yang serius. Namun, setelah diperiksa, doktor menjelaskan bahawa ia adalah serangan panik yang berpunca daripada tekanan emosi yang lama terpendam.
Pengalaman itu benar-benar membuka mata saya. Selama ini saya beranggapan bahawa saya mampu mengawal segalanya, tetapi rupa-rupanya emosi yang tidak diurus dengan baik akhirnya mencari jalan keluar melalui serangan panik.
Saya juga ingin menekankan bahawa mendapatkan bantuan daripada pakar bukanlah tanda kelemahan sebaliknya langkah bijak untuk menjaga kesihatan diri.
Jika anda berdepan masalah emosi atau gejala yang berlarutan, jangan malu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar psikiatri atau kaunselor. Mereka ada ilmu, pengalaman dan cara terbaik untuk membantu kita keluar daripada tekanan.
Mengapa pengurusan emosi penting?
Emosi adalah sebahagian daripada diri kita. Ia tidak boleh dihapuskan, tetapi boleh dikawal dan diurus. Apabila emosi terkawal, kita mampu berfikir lebih rasional, membuat keputusan dengan baik dan menjalani kehidupan dengan lebih tenang.
Sebaliknya, apabila emosi dibiarkan, kita mudah marah, mudah cemas dan akhirnya boleh terjebak dalam kitaran tekanan yang merugikan diri serta orang di sekeliling.
Kajian psikologi menunjukkan bahawa individu yang mampu mengawal emosi lebih berdaya tahan menghadapi cabaran hidup. Mereka juga lebih berjaya dalam hubungan sosial, kerjaya dan kesihatan. Ini kerana ketenangan dalaman memancarkan aura positif yang menyenangkan orang lain.
Justeru, pengurusan emosi bukan sahaja soal peribadi, tetapi memberi kesan besar kepada keseluruhan kualiti hidup kita.
Langkah-langkah mengurus emosi dengan bijak
1) Kita perlu mengenali diri dan emosi sendiri. Apabila kita sedar apa yang kita rasa iaitu sama ada marah, sedih, takut atau cemas maka kita lebih mudah memilih tindakan yang sesuai. Ramai orang menolak emosi dengan berpura-pura kuat, tetapi lama-kelamaan ia hanya menambah beban dalaman.
2) Belajar bertenang dengan teknik pernafasan. Sewaktu saya melalui serangan panik, perkara pertama yang saya pelajari ialah mengawal nafas. Tarik nafas perlahan melalui hidung, tahan seketika, kemudian hembus perlahan melalui mulut. Ulang beberapa kali. Ia nampak mudah, tetapi kesannya sangat besar dalam menstabilkan minda dan tubuh.
3) Amalkan rutin sihat. Tidur yang cukup, pemakanan seimbang, dan senaman ringan mampu memperbaiki kestabilan emosi. Badan yang sihat memberi tenaga positif kepada minda. Saya mula meluangkan masa untuk berjalan kaki atau bersukan dan ternyata ia memberi ketenangan yang luar biasa.
4) Mendekatkan diri kepada Tuhan. Sebagai insan beragama, doa dan ibadah menjadi sumber kekuatan yang paling penting. Saat panik menyerang, zikrullah menenangkan hati dan mengingatkan saya bahawa segala sesuatu berada dalam genggaman ALLAH. Keyakinan spiritual inilah yang membuatkan saya lebih kuat untuk bangkit semula.
5) Bercakap dan berkongsi dengan orang lain. Kita sering menganggap bahawa masalah emosi perlu disimpan sendiri. Namun, apabila kita berani berkongsi dengan orang yang dipercayai sama ada keluarga, rakan, atau kaunselor, beban itu menjadi lebih ringan.
Saya sangat menghargai rakan sekerja yang memahami dan sentiasa memberi dorongan. Kehadiran orang-orang yang prihatin di sekeliling menjadikan proses pemulihan lebih ringan dan bermakna. Sokongan sosial adalah sebahagian besar terapi yang tidak ternilai.
Menjadikan emosi terkawal sebagai gaya hidup
Selepas pengalaman tersebut, saya sedar bahawa mengawal emosi bukan sekadar untuk mengatasi serangan panik, tetapi ia perlu dijadikan gaya hidup.
Hari-hari kita akan sentiasa dipenuhi cabaran dan emosi adalah kunci bagaimana kita memberi tindak balas diri. Jika kita memilih untuk bertenang, sabar dan berfikir positif, kehidupan akan lebih teratur dan bermakna.
Lebih penting, apabila emosi kita terkawal, hubungan dengan orang lain juga lebih harmoni. Kita tidak mudah melatah, kita lebih bersedia mendengar dan kita lebih matang dalam menyelesaikan konflik.
Ini adalah aset besar, bukan sahaja untuk kebahagiaan diri, tetapi juga untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera.
Mengawal emosi bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata. Ia memerlukan latihan, kesabaran dan kesedaran diri. Namun, ia sangat berbaloi kerana hasilnya adalah kehidupan yang lebih damai, terarah dan penuh makna. Akhirnya, hidup ini terlalu singkat untuk dibazirkan dengan emosi yang tidak terkawal.
Belajarlah bertenang, kenali diri dan dekatkan hati kepada ALLAH. Insya-ALLAH, apabila emosi terkawal, hidup kita akan menjadi lebih bermakna, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk semua insan yang kita sayangi.
Maklumat penulis:
Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhaimin Mukhtar
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my