Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sebuah daerah di Terengganu dibuang serta-merta selepas didapati terbabit dalam kejadian buli fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Dua baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap pelaku buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah seliaan agensi itu.
"Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal telah diarahkan dibuang daripada maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan. #YouTouchYouGo," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Tindakan tegas itu menyusul selepas laporan polis dibuat berhubung insiden buli melibatkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang didakwa didera secara fizikal di asrama putera sebuah MRSM di Besut pada malam Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, lima suspek telah dikenal pasti dan pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap kesemua pelajar terbabit.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, dia diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit sekitar jam 11.30 malam hari kejadian.
"Mangsa juga mendakwa ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kejadian itu disedari oleh warden yang sedang bertugas sebelum mangsa dan suspek dibawa ke pejabat warden untuk tindakan lanjut.
Warden kemudian menghubungi penjaga mangsa dan membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.