Seorang pelajar Tingkatan Empat lemas selepas cuba mengambil mata pancing yang tersangkut di Sungai Kampung Amer, Besut, Terengganu malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mayat Muhammad Amin Asyraf Zulkifli, 16, ditemukan pada 9.05 malam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.
"Sebelum kejadian mangsa memancing bersama abang dan dua rakannya namun mata kailnya tersangkut di tebing seberang sungai dan mangsa berenang untuk melepaskan mata kail tersebut tetapi telah lemas.
"Abang mangsa cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat. - Bernama