IPT perlu pantau inisiatif pelajar sewa bas - Zambry

Iklan
Zambry pada sidang media semasa melawat keluarga Allahyarham Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang pada Ahad.

Institut pendidikan tinggi (IPT) perlu memantau sebarang tindakan pelajar masing-masing yang mengambil inisiatif sendiri termasuk menyewa bas persiaran untuk pulang ke kampung semasa musim cuti, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, hal ini penting untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku khususnya melibatkan pelajar.

Iklan
Iklan

"Saya minta pihak universiti supaya ada komunikasi dan langkah-langkah yang diambil (pelajar) sendiri itu dipantau oleh mereka (IPT)," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi rumah Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini pada Ahad.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Fadzli Adam.

Iklan

Allahyarham Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut UPSI yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya sedang meneliti pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan susulan nahas ngeri itu termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.

Iklan

"Kita mengambil maklum semua perkara dan pandangan berkenaan, terutama (yang dikemukakan) melalui media sosial, untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, kementerian sentiasa bertindak pantas dan tuntas dalam menyelesaikan masalah yang menimpa pelajar, khususnya melibatkan kematian. - Bernama