Kelab Khidmat Masyarakat UniMAP santuni ribuan kucing melalui misi CSR

Iklan
Program CSR ini turut dijayakan oleh para mahasiswa UniMAP dan personaliti media sosial.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Purr-Fect Care by Si Comot yang dianjurkan oleh Powercat dengan kerjasama Kelab Khidmat Masyarakat UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) berlangsung dengan jayanya di Bustana Kucing Perlis.

Program ini bertujuan membantu lebih daripada 3,000 ekor kucing yang berada di bawah jagaan pusat perlindungan tersebut yang diusahakan oleh pasangan Mohd Taufik Md Zain dan Noor Azlina Abu Bakar, 59, menempatkan ribuan kucing termasuk yang sihat dan juga yang memerlukan rawatan serta penjagaan khusus.

Iklan
Iklan

Personaliti media sosial Nabilah Bahrin turut menjayakan program CSR anjuran Power Cat.

Jelas Mohd Taufik, pusat perlindungan berkenaan amat memerlukan bantuan dari segi bekalan makanan dan perubatan.

Iklan

"Kami tidak menyangka usaha kecil kami ini mendapat perhatian ramai. Apa yang kami lakukan hanyalah berdasarkan rasa tanggungjawab dan kasih terhadap makhluk ciptaan ALLAH ini.

"Setiap kali ada pihak yang datang membantu, kami rasa seperti diberi nafas baharu. Terima kasih kepada Powercat, pelajar UniMAP dan semua yang hadir.

Iklan

"Anda semua telah menyentuh hati kami dan memberi harapan kepada ribuan nyawa di sini," ujar Mohd Taufik.

Sementara itu Pengurus Perniagaan Powercat, Azzedin Rusland berkata, program seperti ini penting bagi memperkukuh nilai kemanusiaan dan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.

Azzedin

"Kami akan terus menyokong inisiatif sebegini kerana kucing juga wajar mendapat perlindungan dan pembelaan yang sewajarnya. Ada kucing yang diselamatkan di Bustana Kucing Perlis dalam keadaan luka, kelaparan atau trauma. Tapi bila diberi kasih sayang, mereka berubah jadi manja dan ceria.

"Bantuan seperti makanan dan perubatan adalah nadi utama pusat ini. Saya berharap lebih ramai individu akan sedar bahawa kebajikan haiwan juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial.

"Kita bukan sekadar menyelamatkan nyawa kucing-kucing ini, tetapi memberi mereka peluang kedua untuk meneruskan kelangsungan hidup. 

"Program tersebut turut disertai para pelajar dari Kelab Khidmat Masyarakat UniMAP yang membantu membersihkan dan menyusun semula kawasan pusat perlindungan ini sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan haiwan terbiar," katanya.

Turut memeriahkan program CSR ini ialah dua personaliti media sosial terkenal iaitu Mohd Salleh Zakaria (@king_oyen2022) dan Nabilah Baharin (@nabilahbahrin_) dan mereka amat dikenali sebagai pencinta kucing yang aktif bagi menyuarakan isu-isu kebajikan haiwan.

"Ini kali pertama saya sertai program CSR seperti ini dan saya sangat gembira dapat membantu kucing-kucing di Bustana Kucing Perlis. Terima kasih kepada Powercat yang sentiasa menyumbang kepada rumah-rumah perlindungan haiwan jalanan yang memerlukan," jelas Mohd Salleh yang sering berkongsi pelbagai ragam kucingnya bernama Macho Kingsley dalam pelantar media sosial.

Bagi personaliti televisyen terkenal, Maria Tunku Sabri yang juga merupakan pencinta kucing tegar menegaskan, khalayak umum wajar mempunyai kesedaran terhadap kebajikan haiwan peliharaan masing-masing.

"Haiwan peliharaan yang dibela tidak terhad kepada kucing semata-mata. Aspek makan, minum, perubatan dan kesihatan serta pemandulan haiwan juga langkah yang perlu dilihat secara serius.

"Saya berbesar hati dapat membantu dalam program CSR ini. Saya sendiri mempunyai tujuh ekor kucing di rumah dengan pelbagai ragam yang sering menceriakan hari saya. Kucing peliharaan saya bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada ahli keluarga," ujarnya. 

Pelajar UniMAP membersihkan sangkar dan kawasan Bustana Kucing Perlis.

Program Purr-Fect Care by Si Comot akan diteruskan ke beberapa lagi pusat perlindungan kucing di seluruh Malaysia.

Sumbangan melalui aktiviti seumpama ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengurusan pusat perlindungan dan memastikan kebajikan haiwan terbiar-jalanan terus terbela.

Sebagai tanda sokongan, pihak Si Comot by Powercat telah menyumbangkan sebanyak 800 kilogram makanan kucing dan pelbagai peralatan keperluan harian untuk digunakan oleh pihak Bustana Kucing Perlis.