Sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) mengambil pendekatan unik dengan membangunkan sebuah aplikasi khas untuk memahami dialek Kelantan.
Dikenali sebagai KelantanLingo, aplikasi ini dihasilkan oleh empat pelajar tahun akhir Program Linguistik Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM iaitu Nur Liyana, Farah Fazlina, Umi A’isyah Amalin dan Nur Hazirah.
Aplikasi yang diperkenalkan dalam Festival Idea Prasiswazah Universiti Malaya (UG iFEST) 2025 berfungsi sebagai medium pembelajaran yang efektif dalam meningkatkan pemahaman dan pemeliharaan dialek Kelantan.
Ia merangkumi terjemahan kata-kata asas, senarai frasa harian, kuiz interaktif serta panduan sebutan agar pengguna lebih yakin apabila berinteraksi dalam konteks sebenar.
Sementara itu, KelantanLingo mendapat sambutan hangat sepanjang berlangsungnya UG iFEST 2025 di Dewan Tunku Canselor, UM baru-baru ini.
Orang ramai yang mengunjungi festival tersebut ternyata teruja dan tertarik dengan pendekatan interaktif yang ditampilkan dalam aplikasi itu.
Mereka juga menyatakan rasa kagum terhadap inisiatif kumpulan pelajar UM yang berjaya menggabungkan teknologi digital dengan elemen budaya secara harmoni, menyeronokkan dan relevan dengan generasi kini.