'Saya tak sangka nama diabadikan pada spesies parasit ikan baharu' - Saintis UMT

Iklan
Penamaan spesies ini dibuat sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang parasitologi ikan dan biodiversiti marin, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas saintifik antarabangsa. Gambar kecil: Profesor Madya Dr Hafiz

Apabila nama seseorang diabadikan pada spesies parasit ikan baharu yang ditemui, reaksi terkejut dan tidak percaya sudah tentu tidak dapat dielakkan.

Itulah yang dirasai oleh Profesor Madya Dr Hafiz Borkhanuddin, seorang saintis terkenal dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), apabila namanya dijadikan nama spesies baru iaitu Thelohanellus borkhanuddini.

Iklan
Iklan

Penamaan spesies ini dibuat sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam bidang parasitologi ikan dan biodiversiti marin, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas saintifik antarabangsa.

Menurut Hafiz, pengiktirafan berkenaan merupakan satu pengalaman yang amat bermakna.

Iklan

"Saya amat terharu dan berbangga apabila nama diabadikan sebagai sebahagian daripada rekod taksonomi dunia.

"Pengiktirafan ini bukan hanya untuk diri, tetapi untuk UMT, rakan-rakan penyelidik serta para pelajar yang bersama-sama menekuni penyelidikan secara konsisten," katanya yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Program Biologi Marin UMT dan kini Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Iklan

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan turut mendapat liputan media sains terkemuka, National Geographic sekali gus meletakkan penyelidikan berkenaan dalam radar komuniti saintifik global.

Terdahulu, kajian penemuan spesies ini diketuai oleh alumni Program Biologi Marin UMT, Nadhirah Syafiqah Suhaimi, yang kini calon doktor falsafah (PhD) di Hungary, sekali gus mencerminkan kesinambungan kecemerlangan graduan universiti itu di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, UMT dalam satu kenyataan memaklumkan penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan sahaja signifikan dari sudut taksonomi, malah memberi implikasi penting kepada kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur serta keselamatan sumber protein dunia.

DEFINISI PERKATAAN

1) Spesies - Golongan benda (binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain) yang mempunyai sifat sama atau bersamaan bangsa, jenis.

2) Parasit - Tumbuhan atau haiwan yang hidup pada tumbuhan atau haiwan lain dan mendapat makanan serta perlindungan daripadanya.

3) Taksonomi - Kajian tentang prinsip, peraturan dan amalan dalam pengelasan organisma hidup berdasarkan persamaan dan perbezaan sifat organisma itu.

4) Genus - (Bio) kumpulan benda hidup seperti haiwan atau tumbuhan yang terdiri daripada spesies yang mempunyai beberapa ciri yang serupa.