Bidang keusahawanan perlu dipupuk sejak kecil agar generasi muda mampu membina pemikiran kreatif, berdaya saing dan berdikari dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Menyedari kepentingan ini, pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi (IPT) tampil menganjurkan program-program berbentuk keusahawanan yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur termasuklah kanak-kanak sekolah rendah.
Terbaharu, Sekretariat Keusahawanan (K10.BIZ), Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi 2024/2025 telah menganjurkan program KidsPreneur Camp 2025, yang berjaya menghimpunkan lebih 50 peserta cilik berusia antara 7 hingga 12 tahun.
Program sehari ini bukan sekadar aktiviti kanak-kanak, tetapi satu inisiatif berskala besar untuk menyemai nilai keusahawanan sejak kecil.
Menurut Pengarah Kidspreneur Camp, Muhammad Haziq Saharudin, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada para peserta.
"Antara pengisian utama ialah slot Ice Breaking yang membuka tirai dengan permainan interaktif bagi membina keyakinan diri dan semangat kerjasama.
"Kanak-kanak belajar untuk memperkenalkan diri dan menyampaikan idea dengan lebih yakin iaitu kemahiran asas yang amat penting dalam dunia keusahawanan masa kini," katanya kepada Sinar Bestari.
Muhammad Haziq berkata, slot Explorace yang disediakan kepada peserta menggabungkan cabaran fizikal dengan elemen kuiz serta teka-teki yang menyelitkan tema perniagaan.
Malah, aktiviti seperti guess the currency, charades dan radio rosak memberi pendekatan pembelajaran secara menyeronokkan sekali gus mencabar kreativiti dan kerjasama pasukan.
Seterusnya, Muhammad Haziq berkata, modul Landskap Kewangan didedahkan kepada peserta dengan membuka pemahaman asas terhadap nilai wang, konsep untung rugi dan kepentingan simpanan melalui lakonan serta simulasi.
Kemudian, slot penutup bertajuk Things to Remember diadakan untuk memberi peluang peserta menghasilkan rantai kunci kreatif dan menulis mesej penghargaan kepada rakan-rakan baru mereka.
"Aktiviti ini bukan sahaja menekankan kreativiti, malah mengajar nilai persahabatan dan penghargaan iaitu asas penting dalam membina empati dan semangat keusahawanan sosial,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peserta dijangka menunjukkan minat untuk menyertai pertandingan perniagaan peringkat sekolah setelah mengikuti KidsPreneur Camp 2025 ini.
"Saya yakin, dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, mereka mula berani untuk melibatkan diri dalam jualan amal atau membina idea perniagaan kecil-kecilan.
"Dunia keusahawanan bukan hanya milik orang dewasa. Ia bermula dengan impian dan program seperti ini membantu kanak-kanak menjadikan impian itu realiti, selangkah demi selangkah," ujarnya.