Seramai 16 pelajar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tampil proaktif mendidik remaja perempuan mengenai kesihatan haid melalui sebuah program komuniti interaktif bertajuk Her Health, Her Power.
Program ini berlangsung di Dewan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Melaka pada 15 Jun lalu dan disertai seramai 35 remaja perempuan berusia antara 11 hingga 17 tahun dari Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Islam (Payasum).
Inisiatif yang dilaksanakan di bawah kursus INC600 (Komunikasi Interpersonal) merupakan sebahagian daripada penilaian akademik pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarpersonal. Ia dikendalikan di bawah bimbingan pensyarah, Sharifah Yuliana Syed Ali Hanafiah sebagai latihan praktikal mengaplikasikan kemahiran komunikasi dalam konteks sebenar masyarakat.
Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Menses Health Organisation (MHO) dan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, program ini bertujuan meningkatkan pemahaman tentang kesihatan haid serta menghapuskan stigma berkaitannya dalam kalangan remaja perempuan.
Menurut pengurus projek, Putri Nur Izzati, ramai remaja masih tidak memahami perubahan biologi diri akibat kurang pendedahan atau terperangkap dengan mitos.
“Program ini bukan sekadar memberi ilmu tetapi turut menyemai keyakinan dalam kalangan remaja perempuan untuk lebih memahami tubuh mereka secara positif dan terbuka,” katanya.
Aktiviti dijalankan secara interaktif dan inklusif, dengan penekanan terhadap aspek penjagaan kebersihan diri, pengetahuan tentang kitaran haid serta membina komunikasi yang sihat dan tanpa rasa malu.
Untuk rekod, majlis pelancaran program disempurnakan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Hasnoor Sidang Hussin yang turut menyampaikan ucapan penghargaan atas semangat advokasi yang ditunjukkan oleh mahasiswa.
Sharifah Yuliana juga menyifatkan projek ini sebagai contoh terbaik bagaimana pelajar dapat menggunakan ilmu secara praktikal untuk memberi impak positif kepada masyarakat.
“Pelajar bukan sahaja membina kemahiran komunikasi interpersonal, malah turut berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang menyebarkan ilmu secara inklusif,” ujarnya.
Program Her Health, Her Power membuktikan bahawa langkah kecil yang digerakkan oleh mahasiswa boleh memberi kesan besar kepada komuniti. Ia selari dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berbakti dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.