Tatkala ramai pelajar bersengkang mata menyiapkan tugasan atau mengulang kaji pelajaran, seorang graduan yang disahkan kanser limfoma tahap empat ini berjuang di dua medan iaitu dengan buku dan bilik rawatan.
Bagaimanapun, kesusahan dialami oleh Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim ini melegakan banyak pihak apabila nama penuhnya diumumkan di pentas penuh berprestij dalam istiadat konvokesyen meraikan mahasiswa Institut Pendidikan Guru (IPG) baru-baru ini.
Pelajar dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah di IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang itu bagaimanapun tetap bersemangat dan kuat untuk menamatkan pengajiannya demi mencapai cita-cita bergelar seorang guru.
Menerusi video tular di TikTok, Nur Syahidatunnajwa digelar sebagai ‘graduan istimewa’ dek semangat kental yang dimiliki sehingga berjaya tamat pengajian.
Lebih meruntun hati, dia telah menjalani sebanyak 22 kali rawatan kemoterapi dan 15 sesi radioterapi sepanjang bergelar penuntut di Pulau Mutiara itu.
Bagaimanapun, perjuangannya belum berakhir apabila dia masih tabah meneruskan rawatan susulan demi kelangsungan hidup.
“Namun kerana semangat juang dan komitmen yang jitu, Nur Syahidatunnajwa hadir ke istiadat meraikan kejayaannya sekali gus menjadi simbol ketabahan serta inspirasi buat kita semua bahawa penyakit itu bukan penghalang untuk mencapai kejayaan,” kata pengacara majlis graduasi tersebut.
Menjenguk ke ruangan komen, seorang pengguna aplikasi itu yang dipercayai adik kepada Nur Syahidatunnajwa berkongsi bahawa kakaknya tidak pernah merungut mahupun mengeluh sepanjang tempoh rawatan.
Malah, dia terus berusaha dan berjuang untuk mencapai cita-cita demi bergelar seorang guru.
"Tahniah kakakku, perjuanganmu terbayar selama ini. Tak pernah dengar keluhan dari mulut sewaktu tempoh rawatan sampai sekarang.
"Malah dia sabar dan tawakal sepenuhnya pada ALLAH. Sanggup dia memandu dari Kedah ke Selangor demi menggenggam segulung ijazah yang selama ini dia inginkan," katanya.