Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan di selekoh masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing petang Khamis.
Mangsa yang maut, Siti Ain Balqis Hamdan, 23, berasal dari Gombak, Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Nur Intan Syafiera Batrisya Hamzah, 22, dari Mantin, Negeri Sembilan, mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang.
"Siasatan awal mendapati kedua-duanya dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan sebelum motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
"Siti Ain tercampak ke sebelah kiri jalan manakala rakannya terjatuh di atas jalan raya. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Mohd Izani Mohd Zain berkata, pihak universiti menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM12,500 kepada waris Allahyarhamah Siti Ain.
Katanya, bantuan itu merangkumi khairat kematian, pengurusan jenazah serta perlindungan di bawah Skim Perlindungan Pelajar UMT.