Setiap tahun, ribuan graduan menamatkan pengajian dengan penuh harapan. Namun begitu, tidak semua bernasib baik mendapat pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan mereka.
Walaupun ramai graduan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, realitinya hari ini mereka masih berdepan cabaran besar apabila memasuki alam pekerjaan. Kadar pengangguran dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi terus menjadi isu yang membimbangkan meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengatasinya.
Persoalan yang sering timbul, mengapakah masih ramai graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan meskipun mereka memiliki kelayakan akademik yang baik?
Sikap terlalu memilih menyempitkan peluang
Salah satu faktor utama yang sering dibincangkan oleh pakar ekonomi dan pemain industri ialah kecenderungan graduan untuk terlalu memilih dalam soal pekerjaan. Ramai antara mereka meletakkan harapan tinggi terhadap jenis kerja, lokasi dan kadar gaji, meskipun belum mempunyai pengalaman atau kemahiran yang cukup dalam bidang berkaitan.
Sebahagian graduan juga menolak peluang pekerjaan hanya kerana ia tidak selari dengan jurusan yang mereka pelajari. Ada pula yang hanya berminat dengan pekerjaan dalam sektor kerajaan atau syarikat besar sahaja, sedangkan sektor kecil dan sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi negara turut memerlukan tenaga kerja yang berkualiti.
Jurang kemahiran dan kesesuaian kursus
Selain terlalu memilih kerja, jurang kemahiran antara graduan dan keperluan industri turut menjadi cabaran utama. Hari ini, majikan lebih mengutamakan kemahiran praktikal seperti komunikasi, kepimpinan, dan kebolehan menyelesaikan masalah, bukan sekadar pencapaian akademik.
Namun, masih ramai graduan kurang pendedahan kepada kemahiran insaniah ini sepanjang pengajian mereka. Dalam masa yang sama, kewujudan kursus yang tidak seiring dengan keperluan pasaran menyebabkan lebihan graduan dalam bidang tertentu, hingga menjejaskan peluang pekerjaan.
Justeru, graduan perlu lebih bersedia dan proaktif memperkasa diri dengan kemahiran tambahan agar lebih bersaing dalam pasaran kerja semasa.
Dunia pekerjaan hari Ini menuntut lebih daripada sekadar ijazah
Dalam era digital yang serba pantas ini, banyak industri mengalami perubahan besar dari segi keperluan tenaga kerja. Kemahiran seperti analisis data, literasi digital, pengaturcaraan dan pemasaran dalam talian semakin menjadi keutamaan majikan.
Graduan yang tidak mengambil inisiatif untuk menambah ilmu dan menguasai kemahiran baharu berisiko untuk ketinggalan. Sebaliknya, mereka yang sanggup mencabar diri, mengikuti latihan tambahan, menghadiri kursus dalam talian atau melakukan kerja sambilan lebih mudah menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran semasa.
Masih ramai graduan yang terlalu fokus kepada pencapaian akademik semata-mata dan kurang melibatkan diri dalam aktiviti luar kuliah. Sedangkan penglibatan dalam persatuan, program kesukarelawanan atau pertandingan boleh membantu membina keyakinan diri, kemahiran memimpin dan kebolehan berkomunikasi yang sangat penting apabila memasuki alam pekerjaan.
Peranan majikan dan cabaran struktur ekonomi
Walaupun banyak kelemahan yang dikenal pasti datang daripada pihak graduan, tidak dinafikan bahawa struktur ekonomi negara dan pendekatan majikan turut memainkan peranan dalam masalah ini. Terdapat syarikat yang meletakkan syarat pengalaman kerja bagi jawatan permulaan, walaupun hakikatnya graduan baharu masih belum berpeluang memperoleh pengalaman tersebut.
Majikan juga disaran agar membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk graduan mendapatkan latihan industri, menyertai program perantis, atau skim latihan khas agar mereka dapat membina keyakinan dan kemahiran praktikal sebelum benar-benar bekerja secara tetap.
Di peringkat dasar, pelbagai program seperti MyFutureJobs, PENJANA KPT-CAP dan e-LATiH telah diperkenalkan. Namun, kejayaan program-program ini sangat bergantung kepada penglibatan aktif daripada golongan sasar sendiri iaitu graduan.
Masa depan graduan perlukan tindakan proaktif
Graduan hari ini perlu lebih bersedia dan fleksibel. Mereka tidak boleh bergantung kepada satu laluan kerjaya sahaja, sebaliknya perlu berani mencuba bidang baharu seperti pekerjaan dalam ekonomi gig, keusahawanan kecil atau kerja sambilan sambil menimba pengalaman.
Sikap proaktif sangat penting. Graduan digalakkan menyertai bengkel pembangunan diri, kursus pensijilan profesional dan program peningkatan kemahiran yang ditawarkan secara terbuka dalam talian. Selain itu, mereka juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran dan menilai kekuatan serta kelemahan diri secara realistik.
Kesimpulan
Masalah pengangguran dalam kalangan graduan merupakan isu yang kompleks dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Bukan sahaja pelajar, malah institusi pendidikan, pihak industri dan kerajaan juga perlu memainkan peranan masing-masing.
Graduan perlu faham bahawa segulung ijazah bukan jaminan automatik untuk mendapatkan pekerjaan. Apa yang lebih penting adalah kesanggupan untuk berubah, belajar perkara baharu dan membina nilai dalam diri agar sentiasa relevan dalam pasaran kerja yang kian mencabar.
Maklumat penulis:
1. Pelajar Komunikasi Media Baharu niversiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Fathiah Jamaluddin.