Sekumpulan pelajar Sarjana Muda Kesihatan Dan Keselamatan Persekitaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Alam, Selangor tampil melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, Johor Bahru, Johor pada Ahad.
Program yang dinamakan Highlighting Environmental Responsibility for Outbreak Elimination and Safety (H.E.R.O.E.S) yang bertemakan kesihatan dan keselamatan persekitaran bertujuan mencegah penyakit bawaan nyamuk khususnya denggi, melalui pendekatan pendidikan kesihatan yang kreatif dan inklusif.
Menurut Penasihat Program, Profesor Madya Ts Dr Nazri Che Dom, program yang digerakkan oleh 18 pelajar UiTM itu menjadi bukti bahawa generasi muda bukan sahaja mampu menyumbang dari sudut akademik, malah turut berperanan membina kesedaran dalam kalangan komuniti terpencil.
Seterusnya, pelbagai aktiviti telah disediakan penganjur kepada komuniti Orang Asli di kampung tersebut.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah senamrobik gaya hidup sihat, ceramah interaktif berkaitan penyakit bawaan nyamuk dan mewarna.
Turut diadakan pertandingan bowling kelapa, tarik tali, plogging (mengutip sampah paling banyak) dan aktiviti mencari jentik-jentik.
Demonstrasi membungkus ubat jentik-jentik dan aktiviti mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk Aedes turut dijalankan bagi melengkapkan ilmu kepada masyarakat.
Malah, mural bertemakan Hapus Aedes, Cegah Denggi yang dilukis pada dinding Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kampung itu dibuat sebagai simbol kenangan dan mesej berpanjangan buat komuniti.
Sementara itu, program menjadi bertambah meriah dengan kehadiran tetamu kehormat termasuklah Pustakawan Perpustakaan Sultan Ismail Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Tengku Tarmizi Tengku Aziz; Ketua Unit Modal Insan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor, Amirul Abd Razak dan Tok Batin Kampung Bakar Batu, Kais Kie.
Akhir sekali, CSR UiTM ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan penuh daripada pelbagai agensi yang sentiasa memberi kerjasama erat seperti JAKOA Johor, SWCorp, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru, Kemas dan MBJB.
Juga sokongan para penaja seperti SMC, Empoline, PTP, Oyarmarsyar Enterprise, Samtec Asia Pacific, Zaquin Resources Sdn Bhd, McDonald's Bandar Baru UDA dan sumbangan daripada individu serta syarikat yang prihatin terhadap pembangunan masyarakat.