Galeri Nurly Sahirah akan diwujudkan di UPSI - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na’im (tengah) melihat naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah semasa menziarahi rumah penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar UPSI di Gerik awal Jun lalu.

Sebuah galeri khas akan diwujudkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dinamakan sempena pelajarnya, Allahyarham Nurly Sahirah Azman, yang terkorban dalam kemalangan tragik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak, bulan lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Galeri Nurly Sahirah itu akan ditempatkan di bangunan baharu fakulti UPSI iaitu Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan), yang dijangka siap pada awal 2027.

Iklan
Iklan

"Galeri ini diwujudkan sebagai penghargaan UPSI kepada pelajar cemerlang ini, yang diketahui meninggal dunia dalam keadaan memeluk erat al-Quran.

"Jika diizinkan oleh kedua ibu bapanya, pihak universiti akan menempatkan mushaf al-Quran yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah, selain koleksi mushaf lain. Galeri ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada para huffaz untuk menghafal al-Quran melalui penulisan sendiri," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, galeri tersebut bukan sahaja akan mempamerkan mushaf tulisan tangan Nurly Sahirah, malah turut menempatkan koleksi mushaf al-Quran dan kitab-kitab agama sebagai rujukan pelajar serta pihak berkepentingan.

Iklan

Beliau turut menyeru orang ramai termasuk pihak swasta, agar tampil menyumbang secara wakaf bagi memperkukuh pelaksanaan penubuhan galeri berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Na'im mengajak masyarakat khususnya golongan muda, supaya mengambil iktibar dan mencontohi akhlak serta kecintaan Allahyarhamah terhadap al-Quran.

Allahyarhamah Nurly Sahirah, 23, merupakan antara 15 penuntut UPSI yang terkorban dalam nahas pada awal pagi 9 Jun lepas, apabila bas sewa khas dari Jertih yang membawa mereka pulang ke kampus utama di Tanjong Malim terbalik selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.

Kejadian itu turut menyebabkan 33 individu cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na'im berkata, beliau turut menziarahi lima keluarga pelajar yang terkorban serta lima pelajar yang cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya dalam ziarah itu, sumbangan sebanyak RM7,500 disampaikan kepada setiap waris mangsa yang terkorban manakala RM4,000 kepada setiap pelajar yang cedera.

Sumbangan kepada waris mangsa merangkumi RM5,000 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); RM1,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM); RM1,100 daripada Tabung Musa'adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan RM400 daripada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP).

Bagi mangsa yang cedera pula, sumbangan merangkumi RM2,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP; RM1,000 daripada YAPEIM; RM600 daripada Tabung Musa'adah Jakim dan RM400 daripada PPZ-MAIWP.

Bagi mangsa yang cedera pula, sumbangan meliputi RM 2,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP); RM1,000 (YAPEIM); RM600 (Tabung Musa'adah Jakim) dan RM400 (PPZ-MAIWP).

"Kepada baki waris dan mangsa yang belum sempat diziarahi, insya-ALLAH sumbangan akan disampaikan secara berperingkat menerusi agensi-agensi berkaitan.

"Setiap waris dan mangsa yang diziarahi turut menerima sumbangan bakul makanan bernilai RM150 daripada Tabung Musa'adah Jakim," katanya. - Bernama