2 pelajar rangkul 9A+, aktif kokurikulum tapi tetap ditolak! 'Sistem pengambilan matrikulasi mengecewakan...' - Ka Siong

Iklan
Kedua-dua pelajar ini aktif memimpin, menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan serta meraih anugerah inovasi antarabangsa sekali gus bukti kecemerlangan mereka bukan sekadar akademik tetapi juga sahsiah dan daya saing global.

Bayangkan perasaan dua pelajar pintar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David, Melaka, Hiew Kai Xuan dan Wang Yu Ze apabila permohonan mereka ke program matrikulasi ditolak bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut.

Lebih memilukan, mereka bukan hanya mencatat 9A+ dalam kesemua sembilan subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, bahkan turut menunjukkan prestasi luar biasa di luar bilik darjah.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pelajar ini aktif memimpin, menyertai pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan serta meraih anugerah inovasi antarabangsa sekali gus bukti kecemerlangan mereka bukan sekadar akademik tetapi juga sahsiah dan daya saing global.

Namun, semuanya seakan tidak bermakna apabila permohonan mereka ke matrikulasi ditolak kerana satu syarat teknikal sahaja.

Iklan

Baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu hantaran di media sosial, menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap apa yang menimpa dua pelajar berkenaan.

"Mereka dihukum kerana isu teknikal atau kelemahan dalam sistem yang berada di luar kawalan mereka. Mana mungkin pelajar yang hanya mengambil sembilan subjek mendapat 10A dan ini menunjukkan kelemahan keputusan kabinet pada tahun lalu,” catat mantan Menteri Pengangkutan pada Jumaat.

Iklan

Sinar Bestari membawakan perkongsian penuh Ka Siong mengenai dua pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat dalam program matrikulasi di negara ini.

*****

Minggu ini, saya menerima aduan kekesalan daripada Hiew Kai Xuan dan Wang Yu Ze dari SMK Tinggi St David di Melaka yang masing-masing berjaya memperoleh 9A+ dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diambil di dalam SPM 2024 dengan markah merit 98.99 dan 99.14, namun ditolak daripada program matrikulasi sebanyak dua kali.

Pelajar-pelajar ini bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah turut menunjukkan kehebatan di luar bilik darjah.

Mereka memegang jawatan kepimpinan di sekolah, aktif dalam aktiviti kokurikulum, mewakili negeri masing-masing di pelbagai peringkat, memenangi Anugerah Emas di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), malah muncul tempat ketiga dalam Kuiz Sains dan Matematik Kebangsaan.

Pencapaian mereka mencerminkan kecemerlangan intelek dan perwatakan yang seimbang.

Mereka juga termasuk dalam 86 peratus pemohon program matrikulasi yang mengambil sembilan subjek dalam peperiksaan SPM, satu fakta yang disahkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menteri juga menyatakan hanya 14 peratus daripada pemohon mengambil 10 subjek.

Foto: Canva

Lebih mengelirukan apabila Menteri secara terbuka mengakui mengenai majoriti ini, namun dasar itu gagal mengambil kira atau memasukkan kumpulan besar pelajar yang meraih pencapaian cemerlang ini.

Pada 30 Jun 2024 lalu, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam SPM akan dijamin tempat dalam mana-mana program matrikulasi tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Namun ia sudah terlambat untuk pelajar-pelajar SPM 2024 ini mendaftar subjek ke-10 kerana proses pendaftaran telah pun ditutup pada awal tahun 2024.

Sejak tahun lalu, saya secara konsisten menegaskan bahawa pelajar yang memperoleh 9A+ dalam kesemua sembilan subjek SPM yang diambil juga mesti diberi akses yang adil dan sewajarnya ke program matrikulasi.

Pelajar-pelajar ini telah melakukan segala-galanya untuk memperoleh gred tertinggi dalam setiap subjek yang mereka ambil.

Namun kini, mereka dihukum kerana isu teknikal atau kelemahan dalam sistem yang berada di luar kawalan mereka.

Mana mungkin pelajar yang hanya mengambil sembilan subjek mendapat 10A dan ini menunjukkan kelemahan keputusan kabinet pada tahun lalu.

Kenapa hanya fokus kepada minoriti 14 peratus dan abaikan majoriti 86 peratus?

Rayuan dua orang pelajar cemerlang ini juga telah dibuat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh namun tidak berhasil.

Foto: Canva

Justeru, saya menggesa Menteri Pendidikan untuk segera menyemak semula kes-kes ini dan menangani kelemahan sistem ini.

Pelajar-pelajar ini bukan sahaja layak mendapat jawapan, tetapi juga penyelesaian.

Kita tidak boleh membiarkan birokrasi menghalang merit dan keadilan.

Masa depan pelajar-pelajar terbaik kita dan integriti sistem pendidikan kita bergantung padanya.