Bukan sekadar 'sampah', rekaan fesyen 3R pelajar ubah sisa jadi seni di pentas KSM 2024

Iklan

Daripada bahan buangan kepada rekaan mengagumkan. Begitulah kreativiti peserta yang bakal menyerlah dalam Pertandingan Glam Fesyen 3R, acara kemuncak yang dinanti-nantikan sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.

Pertandingan anjuran Sinar Harian dengan kerjasama KDEB Waste Management ini membuka peluang kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan penuntut instituti pengajian tinggi menonjolkan bakat rekaan fesyen berasaskan bahan terpakai serta kitar semula.

Iklan
Iklan

Bertemakan konsep 3R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula), pertandingan ini akan berlangsung pada 25 Julai ini bermula jam 3 petang hingga 6 petang di pentas utama, Dataran Karangkraf di sini.

NUR ZILATULNAIM

Iklan

Penyelaras pertandingan yang juga merupakan Penerbit Video Gaya Hidup Sinar Harian, Nur Zilatulnaim Zulkafli berkata, para peserta wajib memperagakan pakaian unik hasil daripada ‘sampah kreatif’ seperti surat khabar, botol plastik, cakera padat, pembalut makanan dan bahan terbuang lain yang diubah menjadi busana glamor.

"Pertandingan ini sebenarnya bukan sahaja mencabar kreativiti peserta tetapi bertujuan mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui amalan kelestarian.

Iklan

"Fesyen tidak semestinya mahal atau baharu. Melalui pertandingan ini, kita mahu tunjukkan bahawa bahan terbuang pun boleh jadi berharga jika diberi sentuhan kreatif,” katanya.

Beliau berkata lagi, hadiah keseluruhan berjumlah RM6,900 disediakan dengan johan membawa pulang RM3,000, diikuti RM2,000 (naib johan), RM1,000 (ketiga) serta tiga saguhati bernilai RM300 setiap satu.

"Semua pemenang juga akan menerima trofi dan sijil penyertaan,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui imbasan kod QR di poster rasmi atau menghubungi di talian yang disediakan. Penyertaan dibuka sehingga 15 Julai ini.

Selain pertandingan fesyen, Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari untuk seisi keluarga termasuk persembahan seni, reruai jualan, permainan dan cabutan bertuah.