Kejayaan membanggakan dicatat oleh pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Selangor, Shen Ree Herng, 15, apabila diumumkan sebagai penerima Piala PMX 'Prestasi Terbaik Keseluruhan Peserta Malaysia' dalam Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23 di Berjaya Hotel, Pulau Pinang.
Piala berprestij itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah rasmi kejohanan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Catur Pulau Pinang (PCA), See Swee Sie.
Ree Herng yang mewakili Selangor dalam kategori bawah 16 tahun, muncul sebagai peserta terbaik negara selepas menamatkan pertandingan di kedudukan kelima daripada 30 peserta, dengan saingan utama pencatur Vietnam yang mengungguli kategori tersebut.
"Saya sangat terkejut dipilih menerima Piala PMX. Ia bukan sahaja satu penghargaan, tetapi juga motivasi untuk saya berusaha mencapai gelaran Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) Master selepas ini," ujarnya.
Mengulas lanjut, Ree Herng berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia catur sejak usia tujuh tahun.
Kini, pelajar SMK Damansara Jaya itu sedang menjalani latihan intensif bersama jurulatih peribadi bagi memantapkan strategi dan prestasi permainan.
Terdahulu, Kejohanan Catur Kumpulan Umur ASEAN+ ke-23 yang berlangsung dari 1 hingga 8 Julai, menghimpunkan lebih 400 pencatur muda dari 21 negara.
Antara yang terlibat adalah negara-negara ASEAN dan rakan dialog seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, India, Korea Selatan dan Jepun.