Pertandingan koir sering dianggap sebagai aktiviti seni yang menyeronokkan, namun sebenarnya ia membawa impak besar dalam membentuk jati diri dan sahsiah pelajar, khususnya di peringkat sekolah menengah.
Dengan pembukaan penyertaan Pertandingan Koir kategori Sekolah Menengah sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, pelajar berpeluang menonjolkan bakat sekali gus memperoleh pelbagai kemahiran insaniah yang amat berguna dalam kehidupan harian dan pembelajaran.
Menurut penyelaras pertandingan, Siti Nur Qurratul'Aina Quddus, penyertaan dalam pertandingan koir menggalakkan pelajar keluar dari zon selesa dan membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan khalayak ramai.
"Aktiviti yang akan diadakan di Pentas Utama, Dataran Karangkraf Shah Alam ini juga memerlukan kerjasama berpasukan, di mana setiap ahli memainkan peranan penting untuk menghasilkan persembahan harmoni dan bertenaga.
"Lebih daripada itu, latihan yang berterusan membantu membentuk disiplin dan komitmen tinggi dalam kalangan pelajar. Ia mendidik mereka agar menepati masa, mendengar arahan dan menyumbang secara aktif dalam kumpulan," katannya.
Sementara itu, dalam aspek komunikasi pula, pelajar berpeluang melatih kemahiran bertutur, menyampaikan idea serta memahami isyarat bukan lisan dengan lebih berkesan. Ia juga memberi ruang kepada mereka yang berbakat untuk menyerlahkan kreativiti dan ekspresi seni secara positif.
Katanya, bagi pelajar yang memegang peranan sebagai ketua kumpulan atau penyelaras persembahan, ini adalah peluang membina ciri kepimpinan melalui pengalaman sebenar. Malah, hubungan silaturahim antara rakan sekolah turut diperkukuh apabila mereka bekerja bersama ke arah satu matlamat.
"Aktiviti seni seperti koir juga berfungsi sebagai terapi emosi dan tekanan akademik. Pelajar dapat berehat secara sihat sambil mengekspresikan diri dalam suasana yang ceria dan bertenaga," katanya.
Untuk rekod, penyertaan bagi masih dibuka sehingga 16 Julai ini dan terbuka kepada seluruh pelajar sekolah menengah di Selangor.
Guru dan pelajar diseru untuk mengambil peluang ini sebagai aktiviti kokurikulum yang mampu mencipta pengalaman bermakna sepanjang zaman persekolahan.
Penyertaan boleh dihantar melalui pautan dan borang rasmi yang tersedia di Facebook dan kesemua platform Sinar Bestari.
Jangan lepaskan peluang! Ayuh, bergabung suara dan buktikan bahawa pelajar hari ini mampu beraksi cemerlang di pentas seni.