Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang hafaz 30 juzuk al-Quran maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Kuantan - Gambang pada Selasa.
Pemergian mengejutkan pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil dan pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), Muhammad Firdaus Mohammad Zamri mengejutkan warga universiti itu.
Melalui perkongsian hantaran di Facebook Hepa UnIPSAS, kemalangan yang dipercayai melibatkan sebuah ambulans swasta itu telah meragut nyawa Muhammad Zuhair Rifqi di tempat kejadian.
Manakala Muhammad Firdaus yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Perkongsian itu juga memaklumkan, Allahyarham Muhammad Zuhair Rifqi dan Muhammad Firdaus dikenali berakhlak baik dan cintakan ilmu agama.
"Kedua-duanya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad sehingga Tingkatan Tiga dan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
"Mereka kemudiannya melanjutkan pengajian ke Tahfiz Bestari, Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan sehingga tamat Tingkatan Lima," ujar hantaran itu.
Menurut kenyataan itu lagi, semangat mereka untuk mendalami ilmu al-Quran diteruskan apabila menyambung pengajian di UnIPSAS dalam bidang Diploma Pengajian Quran dan Sunnah serta Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian).
"Pihak universiti merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua pelajar dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh," ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan meragut nyawa dua pelajar itu melibatkan ambulans dalam perjalanan membawa pesakit.
Dalam nahas kira-kira jam 11 pagi, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah HTAA.
Berdasarkan siasatan awal, ambulans dipandu lelaki berusia 49 tahun bersama pembantu, 43 dipercayai dalam perjalanan membawa pesakit dari arah HTAA menghala Bukit Rangin.
"Ketika ambulans membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan siren dibunyikan, motosikal dinaiki pelajar berusia 21 dan 22 tahun dari arah Gambang itu dipercayai gagal mengelak dan melanggar ambulans tersebut.
"Akibat kemalangan, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA
"Pemandu dan pembantu ambulans turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital," katanya.
Mohd Adli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan dan meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.