Masihkah anda ingat kisah dua pelajar genius dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi St David, Melaka, Hiew Kai Xuan dan Wang Yu Ze, yang sebelum ini gagal mendapat tempat dalam Program Matrikulasi disebabkan isu teknikal dalam sistem permohonan?
Kisah mereka mencuri tumpuan ramai apabila dikongsi sendiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang melahirkan rasa kecewa dan sedih atas penolakan permohonan dua pelajar cemerlang itu.
Menurutnya, kedua-dua pelajar tersebut memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang sangat cemerlang dengan markah merit 98.99 dan 99.14.
Lebih mengagumkan, Kai Xuan dan Yu Ze bukan sahaja unggul dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan sekolah serta pernah merangkul pelbagai anugerah dalam pertandingan yang disertai di peringkat sekolah mahupun luar.
Namun siapa sangka, di sebalik episod mengecewakan itu, sinar harapan kembali muncul.
Ia disahkan sendiri oleh Ka Siong di Facebooknya pada Sabtu di mana beliau meluahkan rasa syukur dan terharu dengan berita baik itu.
"Baru sahaja menerima berita yang menggembirakan! Dua pelajar cemerlang dari Melaka Wang Yu Ze dan Hiew Kai Xuan, yang memperoleh keputusan cemerlang A+ bagi kesemua sembilan subjek dalam SPM, akhirnya berjaya mendapat tempat dalam Program Matrikulasi!
"Selepas dua kali ditolak, mereka telah dimaklumkan bahawa mereka secara rasmi ditawarkan tempat di sebuah kolej matrikulasi di Pahang.
"Saya benar-benar gembira dengan perkembangan ini dan ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yu Ze dan Kai Xuan," tulisnya.
Sementara itu, sokongan dan ucapan tahniah membanjiri ruangan komen media sosial susulan berita dua pelajar cemerlang.
Rata-rata warga maya melahirkan rasa syukur dan gembira atas perkembangan tersebut.
"Tahniah kepada kedua-duanya. Terima kasih MCA khususnya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong atas usaha dan keprihatinan."
"Congrats anak muda. Belajar rajin-rajin, naikkan nama ibu bapa dan negara!"
"Mantap dan terbaik. Terima kasih MCA. Demi kelangsungan cendekiawan negara masa depan."