Keperluan sains forensik di Malaysia

Iklan
Forensik berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan dunia pengetahuan saintifik dengan proses keadilan dalam sistem perundangan. Gambar kecil: Muhammad Jefri.

Apabila menyebut tentang bidang forensik, kebanyakan rakyat Malaysia akan mengaitkannya dengan mayat, bedah siasat dan kes pembunuhan.

Persepsi ini mungkin terbentuk daripada paparan drama televisyen dan filem yang menonjolkan adegan-adegan di hospital, bilik mayat, dan siasatan tempat kejadian jenayah. Siri drama seperti CSI: Crime Scene Investigation, Bones, Dexter dan Detective Conan antara pengaruh media yang memaparkan babak-babak berkaitan sains forensik dalam menyelesaikan sesebuah kes jenayah. Fenomena ini dipanggil The CSI Effect yang menarik minat penonton untuk lebih mendalami dan mengikuti perkembangan sains forensik.

Iklan
Iklan

Kini, bidang sains forensik semakin meluas, kompleks dan terus berkembang sebagai satu arena profesional yang merentasi pelbagai disiplin sains untuk menegakkan keadilan.

Secara asasnya, forensik didefinisikan sebagai aplikasi atau penggunaan ilmu sains serta teknikal dalam membantu proses perundangan. Hal ini merangkumi segala bentuk penyiasatan saintifik yang bertujuan untuk menyelesaikan kes undang-undang, sama ada jenayah, sivil, kes mahkamah syariah mahupun pertikaian komersial yang memerlukan pengesahan saintifik.

Iklan

Dalam konteks ini, forensik berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan dunia pengetahuan saintifik dengan proses keadilan dalam sistem perundangan.

Bayangkan, kereta anda dilanggar oleh jiran. Jika ingin membuat tuntutan insurans, hal ini melibatkan laporan polis dan penyiasatan untuk mengesahkan tuntuan tersebut. Sekiranya kes berkenaan bertambah rumit untuk membuktikan punca pelanggaran, pakar dalam bidang ini boleh dipanggil sebagai contoh mekanik untuk membantu kes penyiasatan ini. Secara teknikal, mekanik berkenaan merupakan ahli forensik!

Iklan

Hal itu disebabkan oleh mekanik tersebut yang menggunakan kemahiran (ilmu) beliau untuk membantu siasatan kes. Ia boleh dirangkumkan sebagai kes forensik; biarpun tidak melibatkan mayat, bedah siasat dan kes pembunuhan.

Dalam senario lain, kereta anda dilanggar oleh jiran. Anda berbincang dan menyelesaikannya dengan baik, tanpa melibatkan laporan polis dan tuntuan insurans. Maka, kes ini hanyalah sekadar tragedi kemalangan dan bukannya kes forensik.

Di Malaysia, bidang sains forensik menunjukkan potensi yang sangat besar selari dengan keperluan meningkatkan ketelusan siasatan dan memperkukuh sistem keadilan jenayah negara. Sains forensik kini meliputi pelbagai cabang seperti biologi dan DNA, kimia, toksikologi, analisis cap jari, balistik (analisis senjata api), antropologi (kajian manusia dan rangka tulang) serta odontologi (kajian gigi). Tidak kurang pentingnya ialah bidang forensik digital yang semakin relevan dalam menangani jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Asas kimia merupakan komponen yang penting dalam hampir setiap proses analisis forensik. Hampir semua bukti fizikal memerlukan pemahaman mendalam tentang prinsip dan kaedah kimia untuk dapat dikesan, diekstrak, dianalisis serta ditafsir sebelum dapat dijadikan bukti sah di mahkamah mahupun laporan tuntutan insurans.

Penentuan jenis darah yang dijumpai di lokasi kejadian, pengesanan serpihan serbuk letupan pada pakaian suspek atau pengenalpastian dadah dalam air kencing mangsa adalah antara contoh yang memerlukan pendekatan analisis kimia seperti penggunaan instrumen kimia yang canggih seperti kromatografi gas, spektroskopi jisim dan ujian toksikologi lanjutan.

Tanpa penguasaan kimia, seseorang pakar forensik tidak dapat mentafsir spesimen menjadi bukti saintifik yang mampu menyokong pendakwaan atau pembelaan.

Disebabkan itu, kurikulum pengajian sains forensik dirangka supaya para pelajar bukan sahaja mempelajari teknik siasatan tempat kejadian yang sering ditonjolkan di media tetapi juga menguasai ilmu kimia forensik untuk mengkaji bahan toksik, ubat-ubatan, bahan letupan dan bahan mudah terbakar. Mereka turut mempelajari biologi forensik yang membolehkan mereka memproses spesimen darah, air mani atau air liur untuk tujuan pengecaman DNA.

Gambar hiasan (Foto: Ihsan UiTM)

Selain itu, aspek fizik forensik yang penting untuk memahami trajektori peluru dan kesan hentaman juga diajar supaya graduan memahami mekanisme kecederaan atau kerosakan fizikal pada mangsa atau tempat kejadian.

Hal ini menekankan kepentingan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) berkaitan dengan bidang-bidang ilmu yang saling berkaitan dan sering diajarkan secara bersepadu untuk membangunkan kemahiran dalam penyelesaian masalah, pemikiran kritis, dan kerjasama.

Pelaksanaan program sains forensik di peringkat universiti mendorong kepada galakan budaya STEM yang perlu disemarakkan dalam kalangan generasi muda yang dilihat semakin pudar. Pendedahan kepada program sains forensik ini dapat menyuntik minat mereka untuk terus mendalami bidang STEM yang merupakan komponen utama sains forensik.

Sains forensik turut mengandungi komponen kriminologi, etika dan undang-undang untuk memastikan para pelajar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ahli profesional yang berkhidmat demi sistem keadilan. Aspek-aspek penting seperti pengendalian, pembungkusan, dokumentasi, penyimpanan dan persembahan bukti di mahkamah turut dipelajari secara terperinci supaya bukti yang diperolehi tidak tercemar atau menimbulkan keraguan yang boleh menjejaskan kes pendakwaan.

Sains forensik terbukti menjadi pemangkin penting dalam menyelesaikan kes-kes besar di Malaysia. Sebagai contoh, dalam kes pembunuhan tragis Canny Ong pada tahun 2003, teknologi analisis DNA telah membantu mengaitkan suspek dengan kejadian sekali gus membawa kepada sabitan di mahkamah.

Begitu juga dalam kes berprofil tinggi melibatkan Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006, pakar kimia forensik memainkan peranan penting apabila ujian bahan letupan di lokasi kejadian berjaya mengesan kesan bahan peledak yang digunakan iaitu pentaeritritoltetranitrat (PETN) dan siklotrimetilintrinitramin (RDX) yang biasanya digunakan dalam bidang ketenteraan seterusnya membantu mengukuhkan pendakwaan kepakaran forensik Malaysia juga diuji pada skala antarabangsa apabila berlakunya tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada tahun 2014.

Pasukan forensik Malaysia bersama pakar antarabangsa bertungkus-lumus melakukan proses pengecaman jenazah mangsa melalui analisis DNA, rekod pergigian dan ciri-ciri antropologi forensik.

Proses ini bukan sahaja membantu keluarga mangsa mendapat penjelasan dan menuntut hak mereka, malah menjadi bukti penting dalam siasatan tragedi penerbangan berkenaan di mahkamah antarabangsa.

Potensi bidang ini di Malaysia semakin besar seiring dengan keperluan kepada ketelusan siasatan saintifik dalam kes jenayah, insurans, dan juga kes pertikaian komersial. Sektor insurans misalnya semakin giat mengambil graduan sains forensik untuk berkhidmat sebagai loss adjuster forensik dalam memastikan tuntutan kerugian berjuta ringgit tidak dibuat berdasarkan fakta yang direka-reka.

Dalam dunia digital pula, pakar forensik komputer diperlukan untuk mengesan jejak data dalam kes penipuan kewangan, kecurian maklumat atau serangan siber yang semakin meruncing.

Graduan sains forensik tempatan kini mempunyai peluang kerjaya yang luas, tidak lagi hanya tertumpu di jabatan polis atau hospital kerajaan. Malah, firma audit forensik, syarikat keselamatan data, makmal diagnostik swasta dan syarikat minyak dan gas juga semakin mencari kepakaran ini untuk pelbagai tujuan penyiasatan teknikal dan pematuhan undang-undang.

Dengan struktur kurikulum universiti yang semakin mantap dan dilengkapi dengan latihan industri yang menyeluruh, Malaysia dilihat mampu melahirkan lebih ramai pakar forensik bertauliah yang dapat meningkatan kebolehan penyiasatan dan memperkukuh sistem keadilan negara.

Untuk rekod, bidang forensik di Malaysia kini bukan lagi semata-mata tentang membedah siasat mayat atau merungkai kes pembunuhan misteri. Sains forensik ialah disiplin saintifik yang berperanan besar dalam memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan bukti yang sahih dan boleh dipercayai.

Dengan peluang kerjaya yang semakin luas dan keperluan masyarakat terhadap penyelesaian saintifik yang telus, sains forensik merupakan salah satu bidang profesional yang terus berkembang pesat di negara ini.

 

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan Program Sains Forensik, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat di Management and Science University (MSU), Dr Muhammad Jefri Mohd Yusof

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my