Bidang berpotensi besar, berdaya saing

Iklan

Industri penerbangan dijangka terus berkembang selari pertumbuhan ekonomi

Bidang penyelenggaraan pesawat bukan lagi kerjaya di belakang tabir yang dipandang sepi, namun ia kini diiktiraf sebagai antara industri yang mempunyai potensi besar dan berdaya saing.

Lebih menarik, bidang ini terbuka kepada pelajar pelbagai latar belakang termasuk golongan wanita yang memiliki minat dalam dunia penerbangan dan kemahiran teknikal.

Iklan
Iklan

Mohamed Thariq

Profesor di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Ir Ts Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata, penyelenggaraan pesawat merupakan teras kepada keselamatan penerbangan.

Iklan

Katanya, permintaan terhadap juruteknik bertauliah dan profesional penyelenggaraan sentiasa tinggi.

“Saya percaya bidang ini mampu menawarkan kerjaya stabil, bergaji tinggi dan membina masa depan yang kukuh untuk anak muda Malaysia.

Iklan

“Saya melihatnya antara bidang yang mempunyai potensi besar dan berdaya saing tinggi bukan sahaja di peringkat nasional, malah di peringkat global,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mohamed Thariq berkata, pelajar bukan sekadar mempelajari teori penyelenggaraan dan sistem pesawat dalam bilik kuliah, namun dilatih secara praktikal melalui bengkel serta simulasi.

“Sebahagian besar jam kredit diperuntukkan untuk latihan amali, selaras dengan kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Pendekatan hands-on ini memastikan pelajar benar-benar mahir dalam mengesan, membaiki dan menyelenggara sistem pesawat sebenar sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk industri,” katanya.

Bukti kemampuan wanita

Sementara itu, bagi pelajar Diploma Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat Politeknik Banting Selangor (PBS), Cinta Zainuri, 21, pada mulanya dia terpaksa menyesuaikan diri dalam hangar yang merupakan bangunan atau struktur tertutup untuk menyimpan dan memperbaiki pesawat.

“Memang saya 'terpaksa' tetapi tidak pernah menyesal untuk menyertai bidang ini.

“Bidang penyelenggaraan pesawat telah membuka mata saya untuk meneroka lebih banyak tentang industri penerbangan dan minat yang mendalam,” katanya.

Cinta teruja apabila melihat pesawat dalam hangar.

Walaupun memiliki kelayakan dan keupayaan yang sama dengan lelaki, namun bagi sesetengah pelajar perempuan, mereka masih bergelut kerana perlu menyesuaikan diri dengan budaya, pandangan dan suasana yang tidak selalu berpihak kepada golongan tersebut.

Kongsi gadis itu, dengan minat yang mendalam bidang berkenaan termasuk keinginan yang kuat untuk mencabar diri dapat membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan kerja yang sama seperti golongan lelaki.

Sambil tersenyum, Cinta berkata, ahli keluarga juga menyokong keputusan membuatkannya meneruskan perjuangan dalam bidang yang didominasikan lelaki.

“Walaupun mendapat sokongan keluarga, tetapi pandangan orang sekeliling agak negatif.

“Mereka mempersoalkan adakah saya mampu bertahan dalam industri ini? “Disebabkan impian dan usaha, saya yakin ramai lagi wanita yang boleh mengikuti program ini,” katanya.

Selain itu, Cinta yang juga Ahli Majlis Perwakilan Pelajar PBS turut aktif dalam sukan pentaque dan pernah memangi pingat gangsa dalam kategori berkumpulan dalam Kejohanan Sukan Selangor.

Jelasnya, penyertaan dalam sukan tersebut juga membantu untuk membina karekter dan kekuatan dalaman beliau.