Ketekunan dan iltizam tinggi seorang anak jati Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak membuahkan hasil apabila dia berjaya mengekalkan keputusan cemerlang Mumtaz buat tahun ketiga berturut-turut dalam pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Mahasiswa Tahun Tiga Fakulti Usuluddin, pengkhususan Aqidah dan Falsafah, Abu Bakar Kasimi mencatat pencapaian membanggakan apabila tersenarai dalam kelompok 10 pelajar terbaik daripada kira-kira 300 mahasiswa tahun sama.
Lebih membanggakan, anak kepada Imam Masjid Kampung Kuak Luar itu merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok berprestij bagi sesi pengajian 2024/2025.
Abu Bakar merupakan penerima tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di bawah Skim Dermasiswa Luar Negara.
Perkongsian kejayaan itu dimaklumkan Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak menerusi hantaran di laman Facebook rasmi mereka.
“Semoga kecemerlangan yang ditunjukkan oleh beliau dapat diteruskan dalam pengajian tahun akhir sesi 2025/2026 dan menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain terutamanya anak-anak Perak," menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Pejabat Atase Pendidikan turut menyampaikan penghargaan kepada pembayar zakat negeri atas sokongan berterusan dalam menaja pengajian Abu Bakar dan rakan-rakannya di Mesir.
"Kami ucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat Perak Darul Ridzuan di atas komitmen berterusan dalam membantu para mahasiswa,” ujar kenyataan itu lagi.
Susulan pencapaian cemerlang itu, pihak Atase Pendidikan akan mengemukakan cadangan kepada MAIPk agar Abu Bakar dianugerahkan pakej umrah sekiranya berjaya menamatkan pengajian tahun akhir dengan keputusan Mumtaz.