Pelajar KV Keningau tersenarai 50 Finalis Global Student Prize 2025!

Iklan
Siti Nur Hanisah terpilih sebagai finalis berdasarkan pencapaian, sumbangan dan impaknya yang signifikan kepada pelajar lain serta komuniti pendidikan.

Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Siti Nur Hanisah Omar Hashim mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai salah seorang daripada 50 Finalis Global Student Prize 2025 sekali gus meletakkan nama Malaysia sebaris dengan pelajar terbaik dunia.

Merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Siti Nur Hanisah yang dipilih daripada lebih 11,000 pencalonan seluruh dunia bakal membawa pulang hadiah lumayan menerusi anugerah berprestij anjuran Varkey Foundation dan Chegg.org yang berpangkalan di United Kingdom itu.

Iklan
Iklan

Difahamkan, mereka menawarkan hadiah utama berjumlah USD 100,000 (RM 4,000,00) kepada seorang pemenang dan dianggap sebagai anugerah pelajar paling berprestij di dunia.

Siti Nur Hanisah, 20, terpilih sebagai finalis berdasarkan pencapaian, sumbangan dan impaknya yang signifikan kepada pelajar lain serta komuniti pendidikan.

Iklan

Misalnya, pelajar hebat ini merupakan pengasas Mearpet, sebuah perusahaan sosial inovatif yang memanfaatkan pakaian dan patung terpakai untuk diubah menjadi boneka pendidikan.

Boneka-boneka ini kemudiannya digunakan sebagai alat bantu mengajar untuk kanak-kanak dalam persekitaran yang kurang mendapat akses kepada sumber pendidikan berkualiti.

Iklan

Inisiatif ini telah mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa termasuk kemenangan wang tunai berjumlah RM3,000 melalui pertandingan Pitchbah yang dianjurkan Kelab Belia OOZE pada tahun 2023; geran YouthMADE Festival Amplify Grant dari Digital Promise yang berpusat di Amerika Syarikat pada 2025 dan liputan media menerusi saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain pengasas Mearpet, Siti Nur Hanisah turut dikenali sebagai pemimpin pelajar yang aktif dan pencetus gelombang perubahan sosial.

Melalui pelbagai bengkel dan pertandingan yang dia anjurkan, rakan-rakannya turut menghasilkan projek impak seperti Kelas bimbingan bahasa isyarat, kempen pengurangan sisa makanan dan permainan pendidikan daripada bahan terbuang

Beberapa projek tersebut telah menjuarai pertandingan seperti Social Project Challenge anjuran myHarapan dan Yayasan Telekom Malaysia.

Cemerlang akademik

Selain aktif dalam inovasi sosial, Siti Nur Hanisah juga mengekalkan kecemerlangan akademik dengan meraih anugerah pelajar terbaik setiap tahun dan pernah menjawat Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.

Inisiatif lain dirinya termasuk merintis kelas tutorial Malaysian University English Test (MUET) untuk membantu pelajar vokasional melanjutkan pengajian dan menyertai projek Virtual, Remote, Live (VRL) iaitu pembelajaran dalam talian rentas benua.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajarnya itu.

“Kejayaan tersebut merupakan satu bukti bahawa kolej vokasional KPM mampu dan gigih melahirkan pelajar yang cekap, berkebolehan, bercita-cita tinggi dan berbakti kepada masyarakat.

“Sesungguhnya, pencapaian Siti Nur Hanisah bukan sahaja membanggakan KV Keningau, tetapi juga keseluruhan sistem pendidikan vokasional negara,” ujarnya.

Dengan statusnya sebagai finalis Global Student Prize 2025, harapan besar kini diletakkan di bahu Siti Nur Hanisah untuk terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, tetapi turut mengangkat imej negara dan membuktikan bahawa pelajar dari sistem pendidikan vokasional juga mampu bersaing di peringkat global.