Dua pasangan kembar pilih ASASIpintar UKM, ingin jadi doktor perubatan

Iklan
Kedua-dua pasangan kembar ini merupakan antara 312 pelajar yang mendaftar di ASASIpintar UKM di Pusat PERMATA@Pintar Negara.

Dua pasangan kembar cemerlang memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program prauniversiti ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2025/2026 dengan hasrat untuk menjadi doktor perubatan.

Pasangan kembar pertama, Ahmad Hafiz Arwin dan adiknya Ahmad Harith Arwin, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan bersyukur kerana impian untuk menyambung pengajian di institusi yang sama akhirnya tercapai.

Iklan
Iklan

"Kami memang sentiasa bersama sejak dari sekolah rendah lagi dan tidak pernah berpisah. Kami sangat teruja kerana diterima masuk ke ASASIpintar UKM, apatah lagi selepas melalui proses saringan yang cukup mencabar.

"Kami berharap dapat mencapai keputusan cemerlang dan menimba sebanyak mungkin pengalaman di sini sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan di UKM," kata Ahmad Hafiz.

Iklan

Sementara itu, satu lagi pasangan kembar, Chai Yun Zhen dan Chai Zhi Heng, 18, turut memilih ASASIpintar UKM sebagai pilihan pertama mereka.

Menurut Yun Zhen, dia bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian bersama adik kembarnya memandangkan mereka tidak pernah berpisah sejak kecil dan sering ditempatkan di kelas yang sama.

Iklan

"Saya berasa lebih selesa kerana Zhi Heng ada bersama saya di sini. Ini merupakan kali pertama kami berjauhan daripada keluarga, jadi kehadiran satu sama lain sangat bermakna.

"Kami saling membantu terutamanya apabila menghadapi kesukaran dalam pembelajaran," katanya.

Kedua-dua mereka yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru, berharap dapat mencapai kecemerlangan akademik di ASASIpintar dan seterusnya diterima masuk ke Fakulti Perubatan UKM bagi mencapai cita-cita sebagai doktor perubatan.

Tambah Yun Zhen, mereka juga ingin membanggakan kedua-dua ibu bapa sebagai anak tunggal keluarga.

Kedua-dua pasangan kembar tersebut merupakan antara 312 pelajar yang mendaftar di ASASIpintar UKM di Pusat PERMATA@Pintar Negara.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Dr Sufian Jusoh berkata, pembelajaran pelajar ASASIpintar ini berlangsung dalam ekosistem digital terkini yang diharapkan akan dapat meningkatkan potensi pelajar ke tahap yang optimum.

"Kurikulum pembelajaran di ASASIpintar ini dirangka khusus dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri serta agak berbeza dengan kurikulum di universiti lain.

"Ia dirangka bertujuan untuk menyerlahkan lagi kepimpinan dan penguasaan ilmu pelajar agar dapat mengembangkan potensi secara holistik," katanya.

Beliau juga menasihatkan para pelajar agar mereka dapat mengadaptasi diri dengan persekitaran baharu serta merancang hala tuju akademik dengan jelas.

Pada tahun ini, program ASASIpintar terus mendapat sambutan yang menggalakkan dengan sebanyak 7,835 permohonan diterima.

Sumber: Portal UKM