'Semoga ada orang baik-baik dapat bantu Erfan'

Iklan
Selain yuran pendaftaran sebanyak RM630, Erfan juga perlu memiliki sebuah laptop untuk kegunaannya sepanjang pengajian.

Seorang remaja dari Pasir Mas, Kelantan telah ditawarkan mengikuti program Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan.

Tarikh pendaftaran Muhammad Erfan Jasni, 18, ke IPG itu dijadualkan pada 11 Ogos depan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, pemergian ayah tersayang (tukang rumah) yang sebelum ini menjadi tonggak keluarga secara tidak langsung telah meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja secara emosi, tetapi juga daripada segi kewangan.

Kisah sedih Erfan yang merangkul 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), telah mendapat perhatian tokoh motivasi terkenal negara, Raja Shamri Raja Husin sekali gus berkongsi di platform Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Menurut Raja Shamri, Erfan mempunyai 10 adik beradik. Walaupun ada beberapa kakak dan abang yang sudah berumahtangga, mereka hanya mampu menyara keluarga sendiri.

Erfan juga masih mempunyai tiga adik yang bersekolah dan dua lagi adik yang masih kecil, yang turut bergantung kepada ibunya, Khabsoh untuk kehidupan seharian, tulisnya di Facebook.

Iklan

Raja Shamri yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri berkata, ibu Erfan kini gigih mencari sumber pendapatan setelah kematian suami.

"Dia menyara keluarga dengan membuat kuih dari rumah.

"Kuih-kuihnya dihantar ke pasar untuk di jual. Hasil daripada jualan itu, dia memperolehi pendapatan sekitar RM400 sebulan," catat Raja Shamri.

Cerita beliau lagi, Khabsoh tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membolehkan Erfan mendaftar.

"Selain yuran pendaftaran sebanyak RM630, Erfan juga perlu memiliki sebuah laptop untuk kegunaannya sepanjang pengajian. Ini belum lagi mengambil kira kelengkapan diri untuk Erfan.

"Ibunya berharap agar ada orang baik-baik di luar sana yang akan sudi membantu Erfan agar dia dapat memenuhi cita-cita menjadi seorang pendidik,” kata Raja Shamri.

Akhir sekali, Sinar Bestari mendoakan agar ada insan-insan berhati mulia yang sudi membantu Erfan demi merealisasikan impiannya menjadi guru.