AI dan remaja: Antara kemudahan dan cabaran pemikiran

Iklan
Gambar hiasan

Kecerdasan buatan (AI) kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, kewangan, perubatan, pertanian dan sektor awam.

Keupayaan AI menganalisis data dalam skala besar dan menjana maklum balas dengan pantas menjadikannya alat yang sangat berkesan dalam pelbagai konteks.

Iklan
Iklan

Sebagai contoh, dalam sektor kewangan, sistem AI digunakan untuk mengesan penipuan dan transaksi mencurigakan secara masa nyata.

Dalam bidang pendidikan, AI memainkan peranan penting dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran.

Iklan

Teknologi ini membolehkan pelajar mencari maklumat, menjana idea, serta memahami konsep yang kompleks dengan lebih mudah dan cepat.

Pelajar universiti, misalnya, boleh menggunakan AI untuk mempercepat pencarian sumber tugasan, sekaligus menjimatkan masa dan memperluas pengetahuan mereka dalam bidang tertentu.

Iklan

Namun, di sebalik manfaat tersebut, penggunaan AI yang berlebihan juga membawa cabaran besar kepada budaya pembelajaran pelajar masa kini.

Ramai pelajar kini lebih cenderung bergantung kepada teknologi ini, hingga mengabaikan kaedah pembelajaran tradisional seperti membaca buku di perpustakaan atau membuat kajian secara manual.

Akibatnya, sebahagian pelajar mula menunjukkan tanda-tanda kebergantungan tinggi kepada teknologi sehingga menjadi kurang gemar membaca dan sukar untuk membina pemahaman yang mendalam.

Lebih membimbangkan apabila pelajar memilih untuk menjana jawapan terus daripada AI bagi menyiapkan tugasan, tanpa meneliti, menyunting atau memahami kandungan tersebut.

Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mereka, malah menimbulkan isu integriti akademik, terutamanya apabila berlaku penyalinan bulat-bulat yang membawa kepada plagiat.

Menurut Decoding Global Talent Report 2024 oleh JobStreet/SEEK, golongan muda berusia antara 18 hingga 24 tahun merupakan pengguna paling aktif teknologi AI di Malaysia.

Statistik ini menggambarkan kebergantungan generasi muda terhadap AI dalam menyelesaikan tugasan harian, menjana idea, serta mendapatkan maklumat dengan segera.

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan terhadap perkembangan daya fikir dalam kalangan pelajar. Ramai yang dilihat tidak lagi terlatih untuk berfikir secara kritikal atau kreatif.

Ketika berada di dalam dewan kuliah, mereka gagal menjana idea secara spontan dan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah secara inovatif.

Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu yang lebih bergantung kepada kekuatan pemikiran dan sumber bacaan manual, generasi kini berdepan cabaran besar dalam mengembangkan keupayaan intelektual mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan bahawa meskipun pelajar boleh memanfaatkan AI dalam pembelajaran, mereka tidak seharusnya meninggalkan budaya membaca dan berfikir secara kritikal.

Beliau menegaskan bahawa kandungan yang dijana AI mungkin kelihatan tepat, tetapi tidak semestinya benar dalam konteks keseluruhannya.

Maka, pelajar perlu terus memupuk budaya membaca dan berfikir agar dapat membina pemahaman yang kukuh dan mendalam.

Walau bagaimanapun, AI tetap merupakan satu teknologi yang bermanfaat jika digunakan dengan bijak dan bertanggungjawab.

Ramai pelajar juga telah memanfaatkan AI untuk tujuan positif seperti mengulang kaji pelajaran, menjana soalan latihan, atau mencari ilmu pengetahuan baharu.

Sebagai pengguna, setiap individu harus sedar bahawa teknologi hanyalah alat bukan pengganti kepada daya fikir. Justeru, penting untuk kita mengekalkan keseimbangan antara penggunaan teknologi dan pembangunan intelek.

Gunakan AI untuk menyokong pembelajaran, bukan untuk menggantikan proses berfikir.

 

Maklumat penulis:

1. Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Fatma Arinna Mohs Yusmawi

2. Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu USIM, Dr Afiqah Kamarul