Seorang bekas wartawan hiburan yang kini bergelar pensyarah dan penyelidik akademik tampil dengan gesaan berani agar industri hiburan Malaysia menilai semula bagaimana pelakon dinilai khususnya dalam era digital yang terlalu mementingkan pengaruh media sosial berbanding bakat sebenar.
Dalam kertas konseptual bertajuk Balancing Fame and Talent: Rethinking Actors’ Marketability in Malaysia’s Digital Era, penulis meneliti bagaimana bakat, populariti dan penjenamaan peribadi bergabung membentuk keterlihatan dan daya tarikan seseorang pelakon.
Kajian ini menegaskan bahawa kebolehpasaran pelakon hari ini bukan lagi bergantung pada bakat atau populariti semata-mata, tetapi keseimbangan strategik antara kedua-duanya yang diperkuatkan oleh kehadiran digital.
Berpaksikan teori komunikasi, kertas ini menyeru agar pelakon menampilkan diri secara autentik dan bijak dalam ruang digital yang kian mencabar.
Penulis berpendapat, ada pelakon yang benar-benar berbakat tetapi tidak trending, terus tersisih. Sedangkan yang popular belum tentu mampu membawa watak dengan baik.
Model yang diperkenalkan dalam kertas ini terdiri daripada dua alat penilaian utama:
1) Indeks Reputasi (Reputation Index) - Menilai kredibiliti, konsistensi dan keaslian pelakon, bukan sekadar bilangan pengikut.
2) Matriks Impak Pasaran (Market Impact Matrix) - Panduan strategik untuk pengarah dan penerbit membuat keputusan pemilihan berdasarkan keseimbangan antara bakat lakonan dan pengaruh digital.
Disokong oleh Impression Management Theory, kajian ini mengetengahkan keperluan untuk pelakon mengurus imej dan kehadiran digital mereka tanpa mengorbankan integriti seni.
Pada masa sama, kajian berkenaan menggesa penggiat industri agar lebih adil dan teliti dalam proses pemilihan pelakon, demi menjamin kualiti produksi dan kepercayaan penonton.
Kertas ini telah diterbitkan dalam Journal of Social Sciences and Business, dan ditujukan kepada pengarah, penerbit, ejen pemilihan bakat dan pelakon yang sedang mengharungi cabaran dunia hiburan Malaysia yang kian berubah.
Untuk bacaan boleh layari laman sesawang https://qiu.edu.my/journal/index.php/jssb/article/view/48
Maklumat penulis:
Pensyarah Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan, Quest International University, Ipoh, Perak, Zulqarnain Abu Hassan. Beliau juga merupakan Penyelia Program dan Penyelidik Akademik.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my