Menjadi pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) merupakan impian ramai murid sekolah rendah dan ibu bapa di seluruh negara.
Dengan reputasi cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan kepimpinan, SBP, MRSM mahupun program Permata Pintar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi antara destinasi idaman bagi pelajar yang berpotensi tinggi.
Namun, ramai yang tidak tahu bagaimana sebenarnya proses pemilihan dilakukan dan apakah rahsia kejayaan pelajar terpilih terutama dalam pilihan pertama.
Dalam hal ini, perkongsian seorang ibu yang berjaya menghantar anak ke salah satu sekolah elit di Malaysia pastinya dapat membuka mata ramai ibu bapa lain.
Bukan sahaja berkongsi strategi awal, malah turut menekankan kepentingan sokongan moral, latihan berstruktur dan doa yang berterusan.
PBD, PAJSK, UASA, Ujian UKKM dan PKSK pentingkah?
Menurut ibu, Noorsakiah Nordin, maklumat yang dikongsikan ini adalah daripada pengalamannya sendiri yang memohon sekolah tersebut untuk anaknya.
Alhamdulillah, anaknya berjaya diterima masuk untuk menyambung Tingkatan Satu di SBP dan MRSM berdasarkan pilihan pertama yang dimohon.
Justeru, Noorsakiah senaraikan tip lengkap bagi membantu anak-anak agar diterima masuk ke sekolah berprestij pilihan pertama yang diidamkan.
1) Sasarkan cemerlang PBD, PAJSK dan UASA dari Darjah Lima
Sedari Darjah Lima bukan hanya Darjah Enam baru nak pulun. Sebabnya ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) nanti perlu masukkan atau auto link keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) atau Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Psikometri dari Darjah Lima.
Bahagian ini saya bersyukur sangat sebab kebetulan anak banyak pencapaian tahap kebangsaan dan antarabangsa dari Darjah Lima terutamanya di dalam robotik.
Tambahan, rasanya jawatan khas di sekolah pun sedikit sebanyak memainkan peranan.
2) Fokus untuk cemerlang dalam ujian PKSK dan UKKM di Darjah Enam
Nak dapat pilihan pertama mesti cemerlang dalam ujian tersebut.
Masuk kumpulan WhatsApp atau Telegram perkongsian soalan untuk ujian PKSK dan UKKM.
Di situ ada banyak perkongsian soalan-soalan latih tubi (berbayar atau tidak) yang boleh anak buat latihan sebelum menduduki ujian sebenar PKSK dan UKKM.
Bahagian ini boleh fokus bila dah dekat-dekat nak peperiksaan PKSK dan UKKM Darjah Enam nanti, tak perlu awal-awal sangat pun tak apa.
Jika ada seminar menjawab PKSK dan UKKM pun, saya cadangkan untuk pergi ya. Anak dah pergi, memang terbaik dan membantu!
Permata Pintar
Realitinya, memang penting rupa-rupanya ujian-ujian tersebut yang pada awalnya saya hampir buat endah tak endah, mujur sempat ambil tahu.
Penting ya bagi mendapatkan tempat untuk anak di sekolah-sekolah yang bagus di Malaysia ini.
Nak tambah pilihan lagi, sila menduduki peperiksaan UKM 1 untuk ke Permata Pintar juga. Mana tahu rezeki dapat ke UKM 2.
Sekiranya intelligence quotient (IQ) anak markah tinggi >130 (melebihi 130), dapat ke Program Pengayaan Cuti Sekolah (PPCS). Usaha ambil semua peluang yang ada, lepas itu baru buat pilihan.