Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah baharu apabila merekodkan angka pendaftaran tertinggi dengan kehadiran seramai 891 pelajar baharu bagi sesi kemasukan diploma 2025/2026.
Lebih membanggakan, pendaftaran serentak yang melibatkan dua kampus itu berjalan lancar apabila setiap pelajar hanya mengambil masa dua minit sahaja untuk melengkapkan proses pendaftaran.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias berkata, daripada jumlah itu, seramai 449 pelajar mendaftar di Kampus Pekan manakala 434 lagi di Kampus Gambang.
"Maklum balas diterima daripada pelajar dan ibu bapa sangat baik dan saya mengucapkan selamat datang serta tahniah kepada pelajar baharu kerana memilih UMPSA sebagai destinasi pendidikan tinggi bagi sesi akademik kali ini.
"Saya mengharapkan para pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran di UMPSA akan menjalankan tanggungjawab sehabis baik dengan penuh semangat dan berdedikasi," katanya pada Khamis.
Kesemua pelajar itu melanjutkan pengajian dalam lapan program diploma yang ditawarkan iaitu Diploma Kejuruteraan Kimia (DRK); Diploma Sains Komputer (DRC); Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DRM); Diploma Kejuruteraan Awam (DRA); Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (DRP); Diploma Sains Industri (DRS); Diploma Kejuruteraan Elektrik (DRE) dan Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DRO).
Yatimah berkata, UMPSA akan terus berperanan sebagai universiti teknologi terunggul dengan membuka ruang kepada lebih ramai anak bangsa untuk melakar masa depan termasuklah pelajar dari pusat tahfiz.
Jelasnya, institusi itu juga cakna terhadap nasib pelajar daripada golongan berkeperluan apabila mengadakan 30 Program Ziarah Prihatin.
"Program ini antara inisiatif Skuad Prihatin UMPSA dengan kerjasama Yayasan UMPSA bagi menyantuni pelajar baharu daripada golongan B40 sekali gus memberikan sokongan moral dan keperluan asas bagi memulakan kehidupan di kampus," katanya.
Tambah Yatimah, ini termasuklah mengambil dan membawa tiga keluarga pelajar daripada Jasin, Tangkak dan Shah Alam menaiki kenderaan universiti untuk mendaftar di universiti.
"Bagi pihak universiti, program seperti ini mencerminkan semangat rahmah dan cakna terhadap kebajikan pelajar, selari dengan hasrat UMPSA sebagai universiti teknologi yang prihatin serta inklusif," jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, pihaknya berbangga apabila UMPSA menerima kumpulan sulung pelajar laluan khas Tahfiz TVET hasil kerjasama strategik bersama Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP).
"Setakat ini, tiga pelajar tahfiz berjaya melanjutkan pengajian diploma yang ditawarkan UMPSA dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan serta Sains Industri.
"Program ini membuka lebih banyak peluang pendidikan tinggi kepada lepasan tahfiz di negeri Pahang," katanya.
WARTAWAN: NORAWAZNI YUSOF