Fadhlina nafi tidak bertindak kes Zara Qairina

Iklan
Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan bahawa beliau hanya mula mengambil tindakan selepas kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir tular di media sosial.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah berat yang sedang berleluasa dan meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran berita tidak sahih tanpa usul periksa.

Iklan
Iklan

"Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Ujar beliau, perkongsian maklumat tidak sahih boleh menyebabkan murid, guru dan warga sekolah yang tidak bersalah turut terkesan.

Iklan

“Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penularan berita tidak sahih dan fitnah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan," katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, beliau telah menziarahi keluarga mangsa di hospital di Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu dan memastikan semua keperluan keluarga dipenuhi.

Iklan

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah diarahkan untuk menyalurkan bantuan segera," jelas beliau.

Menurut Fadhlina, sehari selepas itu, satu kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut telah dikeluarkan oleh pihaknya, serta menyatakan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

"Saya teliti laporan harian dan memantau secara dekat kes ini serta memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga. Kes ini merupakan tumpuan utama kami di kementerian pada waktu ini," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa beberapa siri ziarah cakna turut dilakukan oleh JPN Sabah ke atas keluarga terbabit, selain intervensi krisis dan trauma dilaksanakan untuk murid, guru serta warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan sentiasa terpelihara.

Fadhlina berkata, bagi menjawab kegusaran keluarga dan masyarakat, satu lagi kenyataan susulan telah dikeluarkan pada 25 Julai bagi menegaskan pendirian KPM bahawa kementeriannya tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku.

"Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak polis. Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan yang profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti," ujarnya.

Beliau dalam masa sama menyeru semua pihak supaya menghormati proses siasatan yang sedang berlangsung dan tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan murid, guru serta warga sekolah yang tidak bersalah.

"Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain," katanya.

Pada 16 Julai lalu, pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan pada jam 3 pagi.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan dalaman yang serius serta koma.

Sehari selepas itu, waris membuat keputusan menghentikan bantuan hayat selepas doktor mengesahkan tiada lagi fungsi otak.