"Kami berharap Bengkel Pengkarya Muda ini dapat mencungkil dan mengembangkan lagi bakat serta potensi murid, khususnya di peringkat Sekolah Menengah dalam bidang penulisan kreatif."
Demikian kata Ketua Program Penulisan Kreatif, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Roziah Adama.
Ujarnya, bengkel yang julung kali diadakan dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mensasarkan pelaksanaannya di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh negara bermula April dan akan berakhir Oktober tahun ini.
"Sebagai sebuah institusi peneraju pendidikan seni di Malaysia, Aswara komited menyemarakkan kegiatan berteraskan kemahiran seni kreatif sekali gus menawarkan haluan pendidikan lebih awal kepada pelajar yang cenderung dalam bidang berkaitan seni kreatif.
"Sejajar dengan hasrat ini, Bengkel Pengkarya Muda dilihat signifikan sebagai pelantar mengenal pasti bakal penulis kreatif pada masa akan datang,” katanya selepas mengendalikan Bengkel Pengkarya Muda Peringkat Kebangsaan Negeri Melaka di Perpustakaan Awam Negeri Melaka pada Rabu.
Sepanjang Bengkel Pengkarya Muda berlangsung, Roziah berkata, para peserta telah dibimbing untuk membangunkan idea sekali gus mengasah kemahiran menulis cerpen berdasarkan idea kreatif yang telah dijana.
"Pembimbing bengkel ini terdiri daripada barisan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem Aswara yang turut bergiat aktif dalam ranah kesusasteraan dan penulisan kreatif tempatan.
"Turut membantu, barisan alumni fakulti yang kembali berbakti sebagai fasilitator dan pemudah cara bengkel," ujarnya.
Sementara itu, Roziah berkata, Aswara sentiasa mengalu-alukan penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang kesenian.
"Pengambilan bagi sesi September 2025 kini telah dibuka dan antara kelebihan melanjutkan pengajian di Aswara adalah kerana institusi ini telah berjaya melahirkan ramai karyawan, penggiat industri seni, pensyarah serta tenaga profesional yang berperanan besar dalam membangunkan industri kreatif tanah air," katanya lagi.