'Zara Qairina pergi, tinggalkan luka' - KPM janji utamakan keadilan dan keselamatan pelajar

Iklan
Fadhlina bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Gambar kanan: Allahyarham Zara Qairina.

Pemergian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dalam keadaan tragis di Sabah baru-baru ini, bukan sahaja meruntun hati keluarga dan warga sekolah, malah membangkitkan kebimbangan ramai mengenai isu keselamatan pelajar di institusi pendidikan negara.

Zara Qairina, yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan menengah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Lebih memilukan, insiden itu berlaku dalam persekitaran yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat seorang pelajar iaitu kawasan sekolah dan asrama.

Kes tragis ini membuka mata semua pihak. Menerusi penggulungan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa kes kematian Zara kini menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan

“Siasatan dijalankan secara telus demi menjamin keadilan buat mangsa dan semua pihak yang terlibat. Kita beri tumpuan penuh,” tegas beliau.

KPM juga memberi komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes ini, selain memastikan warga sekolah terus dilindungi dan diberi perhatian sewajarnya.

Iklan

Dalam nada penuh keprihatinan, Fadhlina turut mengingatkan bahawa sistem pendidikan negara bukan hanya soal akademik tetapi menyentuh aspek lebih besar iaitu kesejahteraan murid secara menyeluruh.

“Pendidikan ialah tanggungjawab bersama. Justeru, pindaan Akta Pendidikan 1996 turut mengambil kira keperluan mewajibkan pendidikan menengah demi memastikan semua anak mendapat peluang belajar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong,” ujarnya.

Kejadian menyayat hati ini menimbulkan satu persoalan besar kepada masyarakat: Adakah sekolah kita benar-benar selamat untuk anak-anak kita?

Dalam pada itu, warga pendidik dan pentadbir sekolah di seluruh negara diseru untuk menjadikan insiden ini sebagai satu titik muhasabah bahawa setiap sudut sekolah mesti dipastikan selamat, setiap suara pelajar perlu diberi perhatian dan setiap isu yang timbul harus ditangani segera dengan penuh integriti.

Zara Qairina mungkin tidak sempat menghabiskan persekolahannya, namun kisahnya kini menjadi pemangkin perubahan. Semoga pemergiannya membuka jalan kepada sistem pendidikan yang lebih manusiawi, selamat dan berdaya empati!