Puteri Irdina Sofea Jazlan Ariff melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian di The University of Edinburgh, Scotland dengan Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan MEng (Hons) Electronics and Electrical Engineering.
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja membuktikan keupayaannya dalam bidang akademik, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda yang ingin mengejar cita-cita menimba ilmu di peringkat antarabangsa.
Sepanjang empat tahun pengajiannya di Scotland, Puteri Irdina Sofea bukan sekadar pelajar yang cemerlang dari sudut akademik.
Sebaliknya, beliau turut aktif dalam pelbagai aktiviti dan projek berimpak tinggi yang memperkukuhkan lagi keupayaan profesional dan kemahiran insaniahnya.
Antara kejayaan membanggakan pelajar ini sepanjang pengajian adalah menjuarai pertandingan Formula Student UK (kategori Driverless/AI) bersama pasukan dari Electrical Department, University of Edinburgh dan memenangi Best Solution Award oleh Huawei melalui kursus Embedded Mobile and Wireless System.
Puteri Irdina Sofea juga terlibat secara aktif dalam projek tenaga boleh diperbaharui Westrigg Wind Farm, khusus dalam pembangunan turbin angin dan sistem janakuasa.
Pencapaian - pencapaian ini dikongsikan oleh MARA Sponsorship Division menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi baru-baru ini.
Menurut MARA Sponsorship Division lagi, walaupun baru sahaja menamatkan pengajian, Puteri Irdina Sofea sudah pun menerima tawaran bekerja sebagai Analog Design Engineer di syarikat terkemuka antarabangsa, Analog Devices Inc, yang berpangkalan di Scotland.
"Analog Devices Inc merupakan syarikat multinasional dalam bidang semikonduktor yang memiliki lebih 20 cawangan di seluruh dunia.
"Sesungguhnya peluang ini cukup membanggakan. Semoga terus menjadi inspirasi buat semua pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan anak-anak Malaysia di perantauan. Teruskan melakar kejayaan!” demikian catatan mereka.
Terdahulu, Puteri Irdina Sofea memulakan perjalanan akademiknya bersama Mara sejak tahun 2015, apabila menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang.
Pada 2020, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan, sebelum akhirnya menerima tawaran melanjutkan pengajian di University of Edinburgh, antara universiti terkemuka dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.