Dua anak muda negara sanggup melupakan zaman remaja mereka semata-mata mahu melakar kejayaan dalam Worldskills ASEAN 2025 di Manila, Filipina hujung bulan ini.
Mewakili Malaysia dalam bidang Pepasangan Elektrik, Muhammad Haziq Lailla Zamri dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Johor dan Kairul Amer Ruslan (Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor) kini gigih menjalani latihan intensif sebagai persediaan terakhir ke pentas kemahiran serantau itu.
Lebih istimewa, penglibatan mereka bukan sekadar pertandingan, tetapi satu misi nasional untuk mengangkat nama Malaysia dalam bidang itu.
Menurut perkongsian Nor Shazwani Shamshudin menerusi Facebook, kedua-dua peserta kini memberi sepenuh tumpuan dalam latihan di Bengkel Johan Kemahiran, Jabatan Elektrik, IKM Johor Bahru, tempat yang menjadi medan utama persiapan mereka.
"Latihan bukan sekadar pengulangan rutin semata-mata, sebaliknya penuh ketelitian dan tekanan masa. Mereka sanggup mengulang setiap tugasan berkali-kali, membetulkan kelemahan sekecil mana pun, kerana mereka tahu tiada ruang untuk kesilapan di pentas antarabangsa.
"Muhammad Haziq Lailla dan Kairul Amer korbankan kehidupan remaja mereka buat seketika, semata-mata untuk membawa nama Malaysia ke mercu kebanggaan. Semangat dan disiplin dua pelajar ini sangat luar biasa,” tulis Nor Shazwani.
Merupakan salah seorang warga kerja di IKM Johor Bahru, Nor Shazwani berkata, kedua-dua pelajar berkenaan mendapat tunjuk ajar daripada pakar yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
"Mereka ialah Jurulatih Negara, Shamshul Annuar Ruslan dan Mohd Nasir Md Bakhir serta Pakar Negara, Mazlan Abdullah dan Mohamad Sahrul Nizam Rosni," katanya.
Akhir sekali, seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan cemerlang dan gemilang buat Muhammad Haziq Lailla dan Kairul Amer dalam Worldskills ASEAN 2025.
Semoga pengorbanan mereka membuahkan hasil dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar kemahiran di seluruh negara.