Kejayaan bersejarah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau yang muncul juara Kejohanan Ragbi Super Schools 2025 Grand Final, diraih dengan perjalanan yang panjang tanpa rasa jemu dan putus asa.
Ketua jurulatih, Mohd Izzuwan Ahmad Sukri, 32, menzahirkan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan menjulang piala berprestij itu buat kali pertama.
“Alhamdulillah, ia hasil usaha gigih dan latihan berterusan selama bertahun-tahun. Saya amat berbangga dengan kesungguhan dan semangat juang pemain. Mereka beraksi dengan sepenuh hati dan semangat yang begitu luar biasa.
“Kejayaan ini bukan datang dalam sekelip mata tetapi hasil dedikasi jangka panjang seluruh pasukan dan sokongan padu pihak pengurusan MARA (Majlis Amanah Rakyat) yang tidak pernah jemu membangunkan sukan ragbi di peringkat MRSM,” katanya.
Berhabis hampir RM10,000
Dalam diam, ketua jurulatih pasukan menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan sukan ragbi MRSM itu.
Tanpa menunggu pujian, Mohd Izzuwan sanggup berkorban lebih daripada masa dan tenaga, malah wang ringgit sendiri demi melihat anak didiknya melangkah gagah dalam padang.
Kongsinya, hampir RM10,000 telah dibelanjakan sepanjang membina nama sampai ke peringkat ini.
“Saya habiskan duit gaji untuk membeli peralatan latihan, bola, barangan perubatan, bayaran yuran perlawanan sehingga ke makanan pemain sekiranya ada kejohanan yang jauh.
“Sekitar tahun 2018, pasukan ini hanya ada lebih kurang 20 pelajar yang berminat dengan ragbi.
“Disebabkan itu, saya sanggup habiskan wang ringgit untuk mereka berjaya. Siapa lagi kalau bukan kita yang bantu,” katanya kepada Sinar Bestari.
Pengorbanan seorang guru inilah yang menjadi bukti bahawa sukan di sekolah bukan sekadar untuk menang, namun ia tentang membentuk insan yang mengetahui erti tanggungjawab.
Berdasarkan perkongsian guru Bahasa Melayu itu, sokongan moral yang sentiasa diberikan kepada pasukan BP Cougars ialah Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sentiasa turun padang setiap kali perlawanan.
Kesungguhan BP Cougars
Sorakan bergema, gugurnya air mata dan pelukan penuh syukur di tengah padang antara detik yang tidak akan dilupakan oleh warga MRSM Balik Pulau.
Kemenangan yang tidak disangka itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah yang terletak di Pulau Pinang, malah menggegarkan MRSM seluruh Malaysia.
Pasukan ragbi underdog itu berjaya mencipta kejutan besar apabila muncul juara Kejohanan Ragbi Super Schools 2025 Grand Final, menewaskan pasukan pilihan dengan aksi luar biasa.
Bagi menghargai perjuangan itu, Asyraf Wajdi dengan bangganya mengumumkan cuti peristiwa khas kepada semua MRSM.
Ia simbol solidariti, penghargaan dan inspirasi kepada pelajar bahawa tiada apa yang mustahil jika berjuang dengan jiwa.
"Semua MRSM diisytiharkan cuti pada 28 Julai 2025," katanya menerusi hantaran di Facebook.
MRSM Balik Pulau yang menggunakan nama BP Cougars mencatatkan keputusan 14-13 dalam pertembungan yang cukup mendebarkan dan disaksikan ratusan peminat ragbi serta ibu bapa pemain.
Victoria Institution (VI) yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan dikenali sebagai VI Blues, merupakan pasukan pilihan dalam edisi ini setelah menjuarai SSR pada tahun 2017 dan 2023.
Namun kesungguhan BP Cougars yang pertama kali melangkah ke perlawanan akhir mengejutkan semua pihak. Untuk rekod, MRSM Balik Pulau memasuki final SSR selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, sementara VI Blues menyingkirkan Kolej Melayu Kuala Kangsar.