Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka, melakar kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai juara Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah 2025 (CIPKPS 2025) Peringkat Negeri Melaka baru-baru ini.
Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan pasukan sekolah membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta piala pusingan dan sijil penghargaan.
CIPKPS 2025 turut menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai muncul naib juara sekali gus meraih wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga pula menjadi milik SMK Sungai Udang, yang membawa pulang RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.
Tidak ketinggalan, SMK Tun Haji Abdul Malek menamatkan saingan di tempat keempat, manakala SMK Ayer Keroh berada di tempat kelima, masing-masing turut menerima hadiah dan pengiktirafan atas usaha mereka.
Pertandingan CIPKPS 2025 yang berlangsung di Usima Forest Resort, Hutan Rekreasi, Melaka merupakan program tahunan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ia bertujuan mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan pelajar melalui pendekatan baharu yang bersepadu serta membentuk generasi pengguna yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab.
Menurut Guru Pembimbing MRSM Tun Ghafar Baba, Cikgu Norizatul Azila Ab Latip, kemenangan itu merupakan satu kejutan manis buat seluruh warga sekolah memandangkan persaingan pada tahun ini amat sengit khususnya dalam aspek kepantasan berfikir dan ketepatan jawapan.
"Persaingan kali ini benar-benar mencabar terutamanya apabila melihat tahap tahap kecerdasan intelektual (IQ) dan penguasaan ilmu peserta daripada sekolah lain yang sangat hebat.
"Alhamdulillah, berkat latihan yang tersusun, persediaan berterusan dan komitmen tinggi pelajar, kami berjaya melakar kemenangan sekali gus membuka peluang kepada kami untuk melangkah ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung September nanti," katanya dengan penuh rasa syukur.
Mengulas lanjut, Cikgu Norizatul Azila berkata, pasukan MRSM Tun Ghafar Baba dianggotai empat pelajar Tingkatan Empat iaitu Wan Aariz Zhafran Wan Muhammad Idris, Amirah Dayana Kamsul, Hanis Syahzani Mohammad Halim dan Muhammad Qaliff Muhammad Fakharul Hilme.
Tambahnya, walaupun tempoh masa persediaan ke pertandingan kebangsaan hanya berbaki sekitar sebulan lebih, pihaknya sudah mula merangka strategi yang lebih mantap bagi memastikan pasukan tampil dengan prestasi terbaik.
"Kami kini dalam fasa menyusun taktikal dan mengukuhkan lagi penguasaan ilmu peserta. Doakan kejayaan MRSM Tun Ghafar Baba di pentas kebangsaan nanti. Terima kasih atas sokongan semua pihak," ujarnya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin berkata, program seperti CIPKPS 2025 merupakan inisiatif yang sangat baik kerana mampu memupuk kesedaran dan mengamalkan budaya kepenggunaan bijak dalam kalangan pelajar.
"Bagi mereka yang hadir mengikuti program ini, ia memberi pendedahan secara langsung tentang hak-hak sebagai pengguna serta tanggungjawab yang perlu dipikul. Mereka juga dididik untuk memahami proses membuat laporan, menjalankan pemantauan dan bertindak secara beretika dalam menangani isu kepenggunaan.
"Saya memuji dan menghargai usaha ini kerana ia membantu melahirkan generasi pengguna baharu yang lebih peka terhadap isu semasa dan berupaya membuat keputusan bijak. Secara tidak langsung, ia juga dapat menyokong peranan KPDN dalam menyebarkan maklumat kepenggunaan kepada masyarakat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar lebih banyak program seumpama ini dianjurkan di masa hadapan termasuk membawa pelajar melawat premis KPDN bagi meninjau secara dekat operasi penguatkuasaan dan pendidikan pengguna yang dijalankan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup CIPKPS 2025 peringkat negeri yang berlangsung di Melaka baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Negeri Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin memaklumkan bahawa sebanyak 41 buah sekolah daripada tiga daerah di Melaka telah menyertai CIPKPS 2025.
"Daripada jumlah tersebut, 20 sekolah mewakili daerah Melaka Tengah, 10 sekolah dari Jasin dan 11 sekolah (Alor Gajah) telah mengambil bahagian.
"Para peserta perlu menempuh pelbagai aktiviti berbentuk cabaran interaktif atau explorace yang menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan mereka. Setiap aktiviti dirancang untuk memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan namun sarat dengan ilmu," katanya.
Beliau menjelaskan, pertandingan itu merangkumi enam checkpoint utama iaitu Pengguna Bijak, Pengurusan Kewangan Berhemat, Pengurusan Pemakanan Sihat, Pemeliharaan Alam Sekitar, Kerjasama Berpasukan dan Pengguna Cakna Pengguna Bijak.
Akhir sekali, Mohd Hazimin turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang atas usaha dan semangat yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.
"Semoga MRSM Tun Ghafar Baba mampu mengulangi kejayaan mereka di peringkat negeri ini dengan muncul juara CIPKPS 2025 peringkat kebangsaan kelak. Sama-sama kita doakan," ujarnya penuh harapan.