Keputusan siasatan kematian pelatih Palapes diketahui dalam masa terdekat

Iklan
Zambry

Keputusan siasatan kes kematian pelatih Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Kementerian Pertahanan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kes itu yang turut disertai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

"Jawatankuasa khas berkenaan akan membuat kajian dan memastikan supaya laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar tersebut.

"Kes ini berada di peringkat siasatan dan laporan siasatan dijangka diketahui dalam masa terdekat," katanya di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta penjelasan menteri mengenai perkembangan lanjut kes kematian Syamsul Haris yang mendapat perhatian umum.

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor.

Iklan

Susulan itu, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, pada 1 Ogos lalu dilapor menuntut siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya disebabkan punca kematian yang belum jelas serta meragukan.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor mendapati kecederaan teruk pada jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.

Zambry memberitahu, beliau berpeluang melawat keluarga Allahyarham pada Isnin dan mendengar sendiri daripada ibu mangsa yang menceritakan keadaan anaknya.

"Beliau memohon secara rasmi supaya siasatan semula dijalankan dan saya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Peguam Negara.

"Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan melindungi pelaku yang terbabit buli atau kekerasan di institut pendidikan tinggi. Sekiranya kes itu dianggap berat dan membabitkan kes jenayah, maka kita tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk pihak polis," tegasnya.