Sekolah Henry Gurney catat lulus 100 peratus SPM 2024 - Shamsul Anuar

Iklan
Shamsul Anuar

Seramai 59 penghuni Sekolah Henry Gurney yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan kelulusan 100 peratus, dengan 40 peratus daripadanya memperoleh sekurang-kurangnya satu A.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, pencapaian itu hasil daripada usaha bersepadu pihak sekolah, tenaga pengajar dan pelaksanaan program intervensi akademik serta pemulihan yang dirangka khusus bagi membentuk sahsiah positif dalam kalangan penghuni.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat 9 Julai, terdapat 655 penghuni yang mengikuti program pemulihan di empat Sekolah Henry Gurney di seluruh negara iaitu 412 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka; Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah (92); Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak (142); dan sembilan penghuni wanita di Sekolah Henry Gurney Kota Kinabalu, Sabah.

Shamsul Anuar berkata, selain pencapaian akademik, seramai 153 penghuni telah mengikuti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf di peringkat nasional melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga 30 Jun lepas.

Iklan

"Program ini selaras dengan matlamat utama pemulihan iaitu menyediakan peluang kedua kepada pesalah muda agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu bertanggungjawab, produktif dan berintegriti," katanya ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Zakri sebelum itu memohon penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang bilangan pelajar yang berada di Sekolah Henry Gurney pada 2025 dan setakat mana kejayaan sekolah berkenaan dalam mendidik mereka.

Iklan

Selain peluang pendidikan, Jabatan Penjara Malaysia turut menyediakan perkhidmatan kaunseling melalui modul bimbingan koreksional yang dilaksanakan oleh guru bimbingan, kaunseling dan pegawai psikologi bagi membangunkan potensi penghuni. - Bernama