Pertandingan Debat Darul Ehsan 2025 menjadi saksi kejayaan pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sepang, Selangor yang diumumkan sebagai Pendebat Terbaik Peringkat Saringan sekali gus tersenarai antara 10 Pendebat Terbaik acara tersebut.
Monesha Kumar dari Kelas 3 Bijaksana berjaya memikat hati juri dengan hujah bernas, keyakinan tinggi dan kemahiran berkomunikasi yang mantap sepanjang pusingan saringan.
Atas pengiktirafan itu, dia membawa pulang sijil pencapaian dan plak sebagai tanda penghargaan.
Walaupun Pasukan Debat SMK Seri Sepang tidak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, namun kejayaan Monesha tetap dianggap satu pencapaian besar terutama bagi pasukan yang baru terlibat dalam dunia debat.
Sementara itu, warga SMK Seri Sepang melahirkan rasa bangga dan terharu dengan usaha gigih yang ditunjukkan Monesha dan rakan sepasukan.
"Pencapaian ini amat bermakna buat mereka yang baru memulakan langkah pertama.
"Tahniah semua. Insya-ALLAH tahun hadapan beroleh kejayaan," kongsi pihak sekolah menerusi hantaran di Facebook rasmi mereka.
Pertandingan Debat Darul Ehsan yang dianjurkan bersama Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor membabitkan penyertaan pasukan-pasukan terpilih Sekolah Menengah dari setiap daerah.
Sepanjang tiga hari pertandingan yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UITM) Puncak Alam, beberapa usul telah dibahaskan oleh para peserta.
Usul-usul itu adalah Vaksinasi perlu diwajibkan kepada rakyat Malaysia; Silibus pendidikan kini masih relevan dengan keperluan masa hadapan; Penyasaran subsidi petrol mekanisme berkesan memantapkan ekonomi negara dan Pembasmian senjata nuklear penentu keamanan global.