Kelab RESCOM eratkan hubungan mahasiswa bersama komuniti peribumi

Iklan
Keterlibatan mahasiswa dalam Program Cakna Komuniti Bersama Masyarakat Peribumi Terengganu penting dalam memberi pendedahan kepada budaya masyarakat peribumi selain memupuk nilai prihatin dan tanggungjawab sosial.

Seramai 45 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu tampil menyantuni komuniti Orang Asli menerusi Program Cakna Komuniti Bersama Masyarakat Peribumi Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua baru-baru ini.

Program tahunan anjuran Kelab Rural Engagement and Student Community Outreach Mission (RESCOM) itu turut menghimpunkan kumpulan kakitangan termasuk pensyarah dan 40 pelajar sekolah yang terpilih.

Iklan
Iklan

Menurut Penolong Rektor UiTM Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu, Dr Syahrul Hezrin Mahmud, keterlibatan mahasiswa dalam aktiviti sebegini penting untuk memberi pendedahan kepada budaya masyarakat peribumi selain memupuk nilai prihatin dan tanggungjawab sosial.

"Universiti sentiasa berusaha menunjukkan kecaknaan terhadap pembangunan pendidikan masyarakat Orang Asli.

Iklan

"Melalui penglibatan mahasiswa, kita dapat membina jalinan erat dan memastikan mereka tidak pernah dipinggirkan,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program berkenaan.

Iklan

Sepanjang Program Cakna Komuniti Bersama Masyarakat Peribumi Terengganu berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk senamrobik, aktiviti permainan mendidik Explocare dan kerja berkumpulan yang mewujudkan suasana mesra antara mahasiswa dan pelajar sekolah.

Selain itu, penganjur turut menambah baik fasiliti sekolah dengan melakukan pengubahsuaian Studio Muzik dan menyediakan sebuah Perpustakaan Mini Pustaka Impian.

Mereka juga bergotong-royong menghias ruang bacaan dan menyusun buku hasil sumbangan warga kampus.

"Program ini terbukti berkesan dalam membentuk sahsiah mahasiswa yang prihatin, empati dan bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.

"Diharapkan agar lebih banyak program seumpama ini dapat dijalankan pada masa akan datang demi melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah aktif menyumbang kepada pembangunan sosial dan komuniti," Syahrul Hezrin.

Terdahulu, Kelab RESCOM merupakan sebuah kelab mahasiswa UiTM Cawangan Terengganu Kampus Kuala Terengganu yang sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program berbentuk khidmat masyarakat sejak penubuhannya.

Kelab ini ditubuhkan dengan matlamat memperkukuh penglibatan mahasiswa dalam aktiviti luar kampus, khususnya bersama komuniti luar bandar dan masyarakat minoriti yang memerlukan sokongan serta perhatian.

Melalui pelbagai inisiatif, Kelab RESCOM berperanan sebagai jambatan antara universiti dengan masyarakat dengan menekankan nilai kepedulian sosial, empati dan kesukarelawanan.

Setiap aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah turut membentuk sahsiah mahasiswa yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan peka terhadap isu semasa.