"Kita tidak akan melakukan sesuatu yang mengorbankan anak tempatan," tegas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkenaan dakwaan pelajar luar negara yang mengisi kuota pelajar tempatan.
Menurut beliau, dasar pendidikan tinggi negara adalah jelas.
"Kita tidak pernah mengorbankan atau membenarkan mana-mana kuota atau tempat untuk anak-anak tempatan dalam mana-mana kursus atau mana-mana universiti diambil oleh pelajar antarabangsa.
"Setiap kuota dan tempat anak-anak tempatan akan diberi keutamaan melalui permohonan Unit Pusat Universiti (UPU)," kongsinya di Facebook pada Rabu.
Ujar beliau lagi, walaupun negara menggalakkan dasar pengantarabangsaan, namun anak-anak tempatan tetap diberi ruang terlebih dahulu.
Ini kerana katanya, dasar pengambilan pelajar antarabangsa adalah dilakukan secara berasingan tanpa mengambil tempat pelajar tempatan.
Dalam hantaran sama, Zambry turut berkongsi kejayaan menyelesaikan beberapa permohonan melibatkan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).
"Tiga permohonan daripada pelajar kategori OKU yang cemerlang telah berjaya diselesaikan dan saya sendiri telah maklumkan bahawa mereka akan ditawarkan kursus yang dipohon.
"Tiada unsur diskriminasi untuk mereka yang layak dan cemerlang sementara kita menyesuaikan keadaan dengan fasiliti terbaik di kampus," ujar beliau.