UMPSA lancar 3 pusat pendidikan inovatif penting

Iklan
Dr Anesee (dua dari kiri) ketika hadir merasmikan Pusat QVC, FLEXMC dan APEL di UMPSA Kampus Pekan pada Rabu. Foto: UMPSA

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengukuhkan reputasi sebagai peneraju pendidikan teknikal dan inovasi digital apabila melancarkan tiga pusat penting yang menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara pada Rabu.

Pelancaran Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Mikrokelayakan (FLEXMC) serta Pusat Penilaian Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini, khususnya di Pantai Timur.

Iklan
Iklan

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata, pelancaran pusat tersebut mengukuhkan lagi persediaan UMPSA sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN.

Menurutnya, pusat-pusat itu juga menjadi pemacu transformasi pendidikan tinggi negara menerusi usaha mendigitalisasikan pendidikan tinggi melalui pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel.

Iklan

"Pelancaran tiga pusat ini merupakan inisiatif UMPSA sebagai penanda aras baharu pendidikan fleksibel dan digital di Malaysia.

"Selain itu, ia juga memberi peluang kepada UMPSA untuk bekerjasama mengembangkan jaringan luar dengan pihak industri dalam pelbagai bidang kepakaran," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian QVC, FLEXMC dan Pusat Penilaian APEL di Dewan Serbaguna UMPSA pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran; dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias.

Anesee berkata, pusat berkenaan merupakan petanda positif yang membuktikan kesediaan UMPSA untuk meningkatkan kesedaran warganya, terutama tenaga pengajar berkemahiran, bagi menyumbangkan tenaga dan idea dalam pembangunan modul-modul latihan kepada pihak industri.

Katanya, usaha itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pembelajaran berteraskan keperluan industri, malah turut menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

Sementara itu, Yatimah berkata, UMPSA menghargai kepercayaan pihak MQA melantik universiti itu sebagai salah satu daripada empat universiti perintis QVC di negara ini yang berperanan melaksanakan proses verifikasi kualiti bagi kursus Stand-Alone Micro-Credential (SAMC) yang ditawarkan oleh pelbagai penyedia kursus di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, FLEXMC yang diperkenalkan universiti itu sebagai pusat inovasi digital dan rujukan utama pendidikan fleksibel, sehingga kini telah berjaya membangunkan 133 modul mikrokelayakan termasuk 28 modul dalam kategori SAMC.

"Sebanyak 105 modul telah ditawarkan kepada komuniti luar UMPSA melalui platform Ulearn UMPSA @ OpenLearning dan MyCredentials UMPSA.

"Lebih membanggakan, UMPSA juga mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di Malaysia yang diberi mandat penuh oleh MQA untuk melaksanakan penilaian APEL.A Antarabangsa Tahap 7 bagi calon bukan warganegara," katanya.

Tambah beliau, sejak dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL Terbuka pada 2022, UMPSA telah menilai lebih 500 calon dalam dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Pakistan, Yaman, Kenya, Libya, Singapura dan Bangladesh.

"Kesemua proses penilaian ini dijalankan secara dalam talian sepenuhnya, sekali gus memberi kemudahan maksimum kepada calon di seluruh dunia," katanya.