Aktiviti kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Jemaah, Pelabuhan Klang, Selangor kini semakin meriah dengan pelaksanaan program S.P.A.R.K (Semangat Penglibatan Aktif Remaja Kokurikulum), yang berjaya menyalakan semangat pelajar untuk lebih aktif dan kreatif.
Program inovatif yang dicetuskan oleh Cikgu Azharizah Saimi itu bertujuan menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum setiap minggu.
Menurut Cikgu Azharizah, antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah Stacking Cup iaitu permainan yang mencabar koordinasi motor halus pelajar.
"Lebih menarik, pelajar turut berpeluang belajar kemahiran asas balingan daripada atlet BFA IV Women’s Baseball Asian Cup sekali gus memberi inspirasi kepada mereka yang aktif dalam kelab dan persatuan sukan sekolah.
"Kerjasama luar turut menyumbang kepada kejayaan program. Misalnya, syarikat YAKULT Malaysia memperkenalkan seni tari tali iaitu aktiviti kreatif yang memperkukuh koordinasi, kreativiti dan semangat kerja berpasukan," katanya kepada Sinar Bestari.
Cikgu Azharizah yang sedang mengikuti perantisan kepengetuaan bagi program National Professional Qualification for Educational Leaders berkata, pertandingan cipta lagu menggunakan teknologi Suno AI turut menjadi sebahagian program S.P.A.R.K.
"Ia dianjurkan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan bagi membolehkan pelajar meneroka kreativiti muzik digital dan menyahut aspirasi nasional dalam bidang Fasih Digital.
"Aktiviti patriotik 'Satu Panji Sejuta Jiwa' turut menjadi sebahagian S.P.A.R.K di mana pelajar unit beruniform berjaya menghasilkan Jalur Gemilang sepanjang 54 meter, satu pencapaian yang mencipta sejarah baharu di sekolah dan menyemarakkan semangat cintakan negara," katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Ampuan Jemaah, Abdul Razak Supajan berkata, kejayaan program tersebut banyak dipacu oleh kreativiti guru dalam merancang aktiviti yang menarik minat pelajar.
"Apabila aktiviti kokurikulum dirancang dengan baik dan bersesuaian minat pelajar, ia bukan sahaja meningkatkan kehadiran, malah memberi impak positif terhadap kehadiran keseluruhan ke sekolah," katanya.
Akhir sekali, program S.P.A.R.K membuktikan bahawa kreativiti guru dan kerjasama strategik mampu memperkukuhkan budaya kokurikulum di sekolah serta melahirkan pelajar yang aktif, kreatif dan bersemangat tinggi.