Bagi memperkukuh aspek disiplin dan pengurusan pelajar di sekolah berasrama penuh, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi DusukiMajlis Amanah Rakyat (Mara) melantik bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, malah turut dibimbing dari segi ketahanan mental, fizikal serta pembentukan sahsiah diri.
Secara tidak langsung, kehadiran warden baharu itu untuk memastikan isu buli dan kes disiplin lain dapat dikekang sekali gus menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM lebih sejahtera buat semua pelajar.
Buat permulaan, kata Asyraf Wajdi, bekas tentera dilantik sebagai warden di dua MRSM iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Ramai berpandangan bahawa tugas warden tidak lagi sesuai digalas oleh guru secara separuh masa. Elaun tambahan pula tidak sepadan dengan tanggungjawab mereka.
“Bebanan tugas hakiki guru juga tidak memungkinkan mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan sebagai warden yang memerlukan komitmen tinggi di luar waktu akademik.
“Justeru, inisiatif ini sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka iaitu satu pendekatan yang Mara cuba laksanakan dengan teliti,” katanya.
Beliau turut berharap agar inisiatif berkenaan mampu memberi manfaat dalam proses kemenjadian pelajar.
“Semoga ada manfaatnya untuk kemenjadian pelajar dan paling penting, dapat membanteras gejala buli yang sudah lama berakar umbi serta membudaya dalam kalangan segelintir pelajar,” ujarnya.