Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu terus kekal sebagai benteng ilmu anak bangsa dan tiada pihak boleh mengganggu-gugat kedudukan serta peranan asal universiti ini, titah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Baginda bertitah, penubuhan UiTM selari dengan Akta 173 (1A) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memelihara hak Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta ia perlu dipertahankan dengan utuh.
“UiTM terbukti mempunyai sejarah istimewa dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta bumiputera melalui pendidikan tinggi.
"Justeru, saya berharap tiada pihak cuba mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pada Rabu.
Pada sidang pertama konvokesyen itu, seramai 237 graduan pascasiswazah diraikan daripada keseluruhan 24,643 graduan yang menamatkan pengajian kali ini.
Dalam titahnya, baginda mengingatkan graduan agar tidak berhenti menuntut ilmu walaupun selepas tamat pengajian kerana ilmu adalah cahaya dan kunci maruah diri.
“Pendidikan perlu terus menjadi agenda utama negara, bukan sekadar melahirkan tenaga kerja tetapi membina insan berakhlak dan berjiwa merdeka,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan tahniah kepada Dr Ahmad Sazali Hamzah yang menerima anugerah Profesor Emeritus atas sumbangan besar dalam memperkasa pendidikan dan penyelidikan di UiTM.