Keselamatan lebih 800 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Melaka semakin terancam selepas struktur bangunan sekolah berusia suku abad itu dilaporkan uzur hingga menyebabkan insiden siling runtuh.
Keadaan yang berlanjutan sejak hampir dua tahun lalu telah menyebabkan sebuah kelas di Blok B terpaksa ditutup, manakala sebuah lagi bilik darjah juga tidak boleh digunakan tidak lama lagi kerana berisiko mendatangkan kecederaan kepada murid.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hairul Amin Madon berkata, masalah itu bukan sahaja membabitkan siling, malah turut melibatkan kayu bumbung yang reput, genting tercabut serta sistem pendawaian elektrik yang gagal berfungsi dengan baik.
"Sekarang satu kelas sudah ditutup dan tidak mustahil lebih banyak bilik darjah terpaksa dikosongkan.
"Bumbung kayu sudah lama reput, siling pula kerap jatuh dan kita bimbang perkara lebih buruk berlaku jika murid masih berada di dalam kelas," katanya.
Hairul Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Serkam Darat berkata, sekolah berusia 25 tahun itu menempatkan 619 murid dan 58 guru serta kakitangan yang setiap hari berdepan kemungkinan bencana sekiranya tiada tindakan segera diambil.
Beliau menambah, masalah pendawaian turut memburukkan keadaan kerana banyak soket tidak boleh digunakan sehingga guru terpaksa berkongsi satu plug sekali gus meningkatkan risiko litar pintas yang boleh mengancam nyawa murid.
Katanya, PIBG bersama penduduk setempat telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan, namun sehingga kini belum ada penyelesaian tuntas.
"Kita bukan mahu menunggu tragedi berlaku baharu tindakan diambil. Keselamatan anak-anak sekolah ini perlu dijadikan keutamaan," tegasnya.