102 murid Tahun Enam SK Banggu cipta kenangan manis naik kereta api ke Tumpat

Iklan
Rombongan lawatan tiba di stesen kereta api tanah merah.

Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu mengambil inisiatif untuk membawa seramai 102 murid Tahun Enam bersama 15 guru untuk menyertai Program Lawatan Sambil Belajar ke Tumpat menaiki kereta api.

Ia mencipta pengalaman bermakna dan kenangan manis menjelang perpisahan alam sekolah rendah.

Iklan
Iklan

Penganjuran program daripada guru-guru Tahun Enam itu bermula seawal 7 pagi pada 11 Disember lalu apabila murid berkumpul di sekolah dengan wajah ceria sebelum bertolak menaiki bas ke Stesen Kereta Api Tanah Merah.

Murid perempuan yang berada di Koc A begitu seronok kerana dapat merasai pengalaman baru.

Iklan

Dari situlah bermulanya pengalaman pertama menaiki kereta api bagi kebanyakan murid yang jelas teruja sepanjang perjalanan.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah berkenaan, Zainal Mohamad berkata, program tersebut dirancang bagi memberi pendedahan baharu kepada murid selain mengukuhkan hubungan silaturahim antara murid dan guru.

Iklan

“Lawatan seperti ini bukan sahaja menyeronokkan malah memberi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah yang sangat berharga kepada murid,” katanya.

Sepanjang perjalanan menuju ke Tumpat, murid-murid dihidangkan dengan pemandangan indah sawah padi, bukit-bukau serta suasana kampung yang mendamaikan.

Suasana dalam gerabak pula riuh dengan gelak tawa, sesi bergambar dan keterujaan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan.

Setibanya di Stesen Tumpat, rombongan sekolah diteruskan dengan lawatan ke Pengkalan Kubor, kawasan bebas cukai yang terkenal bagi memberi ruang kepada murid untuk membeli coklat dan cenderahati sebagai buah tangan untuk keluarga.

Kegembiraan jelas terbayang di wajah masing-masing dan berharap mereka dapat berpeluang menaiki kereta api pada masa akan datang.

Dalam pada itu, salah seorang guru pengiring, Faizah Muhammad Padzil berkata, lawatan itu memberi kegembiraan yang sukar dilupakan oleh murid.

“Melihat senyuman dan keterujaan mereka sudah cukup menggambarkan kejayaan program ini. Ia menjadi hadiah perpisahan yang sangat bermakna buat murid Tahun Enam,” ujarnya.

Sebelum pulang, rombongan singgah di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian bagi menunaikan solat Zohor, sekali gus mengisi slot kerohanian yang mendidik dan menenangkan.

Dalam pada itu, ibu bapa pelajar turun menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah dan guru-guru yang membawa anak-anak mereka menaiki kereta api.

Program ini bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada murid, malah menjadi bukti dedikasi serta kasih sayang para guru dalam memastikan murid menikmati saat-saat indah sebelum melangkah ke alam persekolahan menengah.