Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, e-sukan tidak lagi dilihat sebagai sekadar hobi atau aktiviti rekreasi.
Ia kini mula mendapat perhatian dalam bidang pendidikan, apabila semakin banyak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) mula mengambil langkah untuk mengintegrasikan e-sukan sebagai sebahagian daripada struktur kokurikulum pelajar.
Pakar pendidikan melihat e-sukan sebagai platform yang berpotensi untuk meningkatkan penglibatan pelajar dalam pembelajaran, selain membina kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan komunikasi.
Kajian oleh Mad Noor Madjapuni menyatakan bahawa aktiviti permainan digital mampu merangsang daya fikir pelajar secara kreatif dan reflektif.
Pada masa yang sama, perkembangan e-sukan turut membuka peluang kerjaya dalam pelbagai bidang seperti pembangunan permainan, penyiaran digital, pengurusan acara dan teknologi maklumat.
Beberapa IPT di Malaysia telah memperkenalkan program akademik khas dan biasiswa dalam bidang ini, menandakan pengiktirafan terhadap potensi e-sukan sebagai satu bidang profesional yang serius.
Laporan dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyokong pandangan berkenaan dengan menyatakan bahawa e-sukan kini menjadi platform profesional yang berupaya mengubah kehidupan pelajar, bukan sekadar aktiviti bersifat santai.
Ia memberi peluang kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat dalam persekitaran yang lebih terkawal dan terarah.
Berdepan dengan beberapa cabaran
Walaupun mempunyai potensi besar, pengintegrasian e-sukan dalam pendidikan turut berdepan dengan beberapa cabaran.
Antara isu utama sering dibangkitkan adalah persepsi negatif terhadap permainan video yang dikaitkan dengan ketagihan, penurunan prestasi akademik dan kesan negatif terhadap kesihatan fizikal serta mental.
Laporan media sebelum ini menyatakan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pendidik terhadap kesan jangka panjang penglibatan pelajar dalam e-sukan termasuk masalah ketegangan mata, gangguan tidur dan gaya hidup sedentari.
Walau bagaimanapun, kajian oleh Sri Rahayu Rahamad dari Kolej Komuniti menunjukkan bahawa pelajar yang terlibat dalam e-sukan sebenarnya bermotivasi untuk menjana pendapatan dan tidak menunjukkan penurunan dalam prestasi akademik mereka.
Satu lagi cabaran besar adalah kekurangan infrastruktur yang sesuai di peringkat sekolah.
Ketiadaan peralatan, sambungan internet berkelajuan tinggi dan tenaga pengajar atau jurulatih berpengalaman menjadikan pelaksanaan program e-sukan sukar dilakukan secara menyeluruh dan holistik.
Bagi memastikan integrasi e-sukan dalam pendidikan dapat dijalankan secara efektif dan seimbang, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak.
Antaranya termasuklah pembentukan dasar dan garis panduan khas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, penyediaan bengkel kesedaran kepada guru dan ibu bapa serta mewujudkan sistem pemantauan berterusan terhadap impak program e-sukan terhadap pelajar.
Perlu diperkukuh
Kerjasama antara sekolah dan pihak industri juga perlu diperkukuh terutama dalam menyediakan kemudahan, latihan dan sokongan teknikal.
Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Ananth S Nathan pernah menyatakan bahawa e-sukan perlu diberi pengiktirafan sebagai salah satu pendekatan pembangunan belia kerana jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu menjadi alat pendidikan yang berkesan.
Integrasi e-sukan dalam pendidikan mencerminkan perubahan landskap pembelajaran yang semakin bersifat digital dan berteknologi tinggi.
Pendidikan tidak lagi terbatas kepada bilik darjah dan buku teks, tetapi semakin terbuka kepada pendekatan progresif yang lebih relevan dengan keperluan generasi baharu.
Permainan yang berasaskan strategi dan simulasi kini menjadi alat alternatif untuk membina kemahiran insaniah, dalam suasana yang terkawal dan berstruktur.
Sokongan menyeluruh daripada pihak kerajaan, pendidik, ibu bapa dan industri adalah kunci utama untuk memastikan inisiatif ini berjaya.
Dengan pendekatan yang holistik dan pelaksanaan yang seimbang, e-sukan bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar, tetapi juga menjadi pemangkin transformasi pendidikan ke arah menyokong aspirasi negara dalam membina ekonomi digital dan generasi celik teknologi pada masa hadapan.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Alif Imran Aziz
2) Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu, USIM, Dr Afiqah Kamarul
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my