Malaysia kini sedang berhadapan dengan cabaran besar dalam memastikan generasi muda bersedia untuk menyertai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi mendukung aspirasi negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Portal tempatan melaporkan trend terkini enrolmen pelajar aliran sains di Tingkatan Empat yang semakin membimbangkan merosot kepada 15.2 peratus sedangkan dasar kerajaan menetapkan sasaran nisbah pelajar aliran sains berbanding sastera adalah 60:40.
Ketidakseimbangan ini memberi impak besar terhadap usaha negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang yang memerlukan penguasaan Matematik yang kukuh.
Persoalannya, mengapa pelajar kini semakin hilang minat terhadap Matematik dan Matematik Tambahan?
Apakah puncanya dan bagaimana pelajar, guru, ibu bapa, pembuat dasar dapat memainkan peranan untuk meningkatkan penyertaan pelajar di aliran sains?
Asas tidak kukuh sejak sekolah rendah
Ramai pelajar memasuki sekolah menengah tanpa menguasai asas Matematik iaitu sifir. Ini pula ditambah dengan penggunaan kalkulator terlalu awal atau secara berlebihan di menengah rendah, tanpa asas pengiraan manual yang kuat.
Ramai pelajar terlalu bergantung pada kalkulator walaupun untuk operasi sifir yang asas sepert 6x3=18.
Ini melemahkan keupayaan mencongak dan menyebabkan mereka lambat dalam menyelesaikan soalan terutama dalam peperiksaan yang memerlukan langkah kerja di dalam tempoh waktu yang terhad.
Kalkulator sememangnya alat bantu berguna, tetapi jika digunakan sebelum pelajar benar-benar menguasai asas, ia akan menjadi ‘tongkat’ yang merosakkan kekuatan asas yang sedang dibina.
Lemah dalam algebra di menengah rendah punca takut ambil Matematik Tambahan?
Algebra adalah asas kepada hampir semua topik dalam Matematik dan Matematik Tambahan.
Namun, ramai pelajar tidak jelas tentang konsep pemboleh ubah, persamaan, hukum algebra dan kaedah penyelesaian.
Ini menyebabkan mereka berasa tertekan, tidak yakin dan akhirnya menolak terus subjek Matematik Tambahan kerana menganggapnya 'terlalu sukar'.
Tidak nampak aplikasi di dalam kehidupan harian
Apabila pelajar tidak dapat melihat bagaimana Matematik digunakan dalam dunia sebenar, mereka hilang motivasi untuk belajar.
Sedangkan hakikatnya, Matematik digunakan dalam pelbagai bidang daripada perbankan dan teknologi sehinggalah ke kejuruteraan serta data sains.
Tanpa usaha mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan, pelajar menganggap Matematik hanyalah sekadar teori.
Hilang keyakinan
Pengalaman buruk di dalam kelas seperti sering dimarahi kerana melakukan kesalahan dalam jalan kerja Matematik, tidak dibimbing apabila salah atau dibandingkan dengan rakan lain menyumbang kepada rasa takut untuk mencuba.
Seterusnya ini menyebabkan peningkatan bilangan pelajar sekolah menengah yang mempunyai keresahan Matematik (Mathematics anxiety) yang tinggi.
Pelajar mula berfikir mereka 'tak pandai' atau 'memang tak boleh buat', sedangkan realitinya, mereka hanya perlukan lebih banyak latihan dan sokongan.
Silibus yang padat dan perlu dihabiskan dalam tempoh yang terhad
Kandungan sukatan pelajaran yang padat, ditambah dengan tekanan untuk mengejar masa, menyebabkan guru terpaksa mengajar laju tanpa ruang untuk pelajar mengukuhkan kefahaman asas dalam Matematik. Pelajar yang tertinggal tidak sempat mengejar dan akhirnya menyerah.
Kesan tiada peperiksaan awal di sekolah rendah
Pemansuhan peperiksaan di sekolah rendah dibuat dengan hasrat murni iaitu untuk mengurangkan tekanan terhadap murid dan memberi tumpuan kepada pembelajaran yang menyeronokkan.
Namun, bagi subjek seperti Matematik, ketiadaan peperiksaan berstruktur boleh membawa kesan jangka panjang yang tidak disedari.
Matematik bukan sekadar ilmu, tetapi kemahiran yang memerlukan penguasaan langkah demi langkah.
Tanpa ujian atau penilaian yang sistematik, sukar untuk mengesan kelemahan pelajar secara tepat terutamanya dalam topik asas seperti algebra.
Peperiksaan bukan semata-mata untuk memberi markah, tetapi untuk mengesan tahap kefahaman, memberi maklum balas kepada guru dan ibu bapa serta menilai sama ada pelajar benar-benar bersedia untuk ke tahap seterusnya.
Tanpa penilaian yang kukuh di peringkat awal, ramai murid naik ke sekolah menengah dengan jurang besar dalam pengetahuan.
Jurang ini menyebabkan mereka gagal memahami topik lebih tinggi seperti algebra, persamaan linear, dan fungsi. Akhirnya, mereka hilang keyakinan dan enggan mengambil subjek seperti Matematik Tambahan.
Oleh itu, apakah jalan keluar untuk punca masalah ini?
Langkah pertama ialah memperkukuh semula asas Matematik.
Pelajar perlu menghafal sifir dan menguasai algebra terlebih dahulu dengan didedahkan banyak latihan beserta pembelajaran berasaskan pemahaman, bukan sekadar hafalan rumus.
Penggunaan kalkulator juga perlu dikawal dan digunakan pada masa yang sesuai seperti selepas pelajar benar-benar mahir dengan pengiraan asas secara manual.
Yang paling penting, pelajar perlu diajar bahawa Matematik tidak menakutkan. Ia seperti kemahiran lain yang memerlukan latihan, keberanian untuk mencuba, dan kesediaan untuk gagal dan belajar semula.
Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti semula pendekatan penilaian untuk subjek Matematik di peringkat rendah dan menengah.
Penekanan harus diberikan kepada penilaian diagnostik berstruktur, program pemulihan Matematik dan latihan pedagogi inovatif kepada guru Matematik.
Kurikulum juga perlu disemak agar lebih kontekstual dan seimbang antara teori dan aplikasi.
Guru pula perlu kreatif dan sabar dalam mendidik. Pendekatan berpusatkan pelajar dan kaedah pengajaran yang membina keyakinan mesti diutamakan.
Jangan terlalu fokus pada markah semata-mata, tetapi tekankan kefahaman dan keberanian untuk mencuba.
Ibu bapa pula disarankan agar tidak menekan anak untuk mencapai 'sempurna', tetapi membantu mereka dengan memberi galakan, menyediakan masa belajar yang konsisten serta meraikan setiap kemajuan dalam pemahaman Matematik mereka.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Norshela Mohd Noh
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my